suria

Projek MRT: Pemilik Tanah Dibenarkan Kemuka Semakan Kehakiman

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada Khamis membenarkan dua pemilik tanah dan tiga syarikat memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar pengambilan sembilan lot tanah di kawasan Bukit Bintang oleh kerajaan untuk pembangunan Projek MRT Lembah Kelang Jajaran Sungai Buloh-Kajang.

Hakim Abang Iskandar Abang Hashim membuat keputusan itu dalam kamar selepas membenarkan permohonan peguam Su Tiang Joo, yang mewakili pemilik tanah iaitu syarikat LTS Resources Holdings (M) Sdn Bhd dan Pedoman Cekap Sdn Bhd, serta T.S. Law Corporation Sdn Bhd dan dua anak syarikatnya, LTS Properties (M) Sdn Bhd dan LTS Capital Sdn Bhd.

Dalam permohonan yang difailkan 5 Ogos lepas, mereka menamakan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, kerajaan Malaysia serta pentadbir tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai responden.

Antara lain, mereka memohon perintah bagi membatalkan kelulusan responden bagi pengambilan tanah mengikut Seksyen 3E(1) Akta Pengambilan Tanah 1960.

T.S. Law Corporation mendakwa syarikat itu berhasrat membangunkan pusat perniagaan di kawasan Bukit Bintang sejak hujung tahun 1990.

Sehubungan itu, pemohon pertama melalui dua anak syarikatnya membeli tanah sebanyak 30 lot secara beransur-ansur, dari 1999 hingga 2011, pada harga melebihi RM130 juta.

Mereka juga berkata, memandangkan Projek MRT dicadangkan beroperasi di bawah tanah, maka tidak ada keperluan untuk mengambil mana-mana bahagian permukaan tanah itu.

Semua responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan M.Kogilambigal. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain