suria

Penyusunan Semula Lotus Ikut Jadual - Pengarah Urusan

KUALA LUMPUR: Penstrukturan semula Lotus berjalan mengikut jadual dan pelan pemulihannya akan selesai dalam masa dua hingga tiga tahun lagi, kata Pengarah Urusan (MD) Proton, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Mohamed Tahir, Khamis.

Beliau berkata, antara objektif yang dicapai ialah jualan kukuh rangkaian produk sekarang, kempen pemasaran yang agresif dan tertumpu, pelancaran model-model baharu, penggabungan dan penyusunan semula rangkaian wakil jualan dan pencapaian sasaran kewangan.

Meskipun pembuat kereta nasional itu mencatatkan pendapatan yang lebih rendah bagi suku pertama berakhir 30 Jun, 2011 iaitu sebanyak RM12 juta yang merupakan penyusutan daripada RM105 juta yang dicatatkan bagi suku yang sama tahun lepas disebabkan oleh kos yang ditanggung bagi penstrukturan semula Lotus, namun, kata Syed Zainal, penyusutan itu dijangkakan.

"Memang ada naik turun, asalkan itulah yang kita kemukakan kepada bank," katanya pada satu sidang akhbar selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu.

Syed Zainal berkata, selain merasionalisasikan pasaran tradisi seperti United Kingdom, Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat, kumpulan itu juga telah melantik kumpulan wakil jualan baharu untuk memperkukuh kedudukannya dan meningkatkan jualan di Australia, Jepun, Asia Barat, Switzerland, China dan India.

Pengedar China menandakan kemasukan Lotus ke China dengan 150 buah kereta dipesan setakat ini, dan pembukaan bilik pameran pertamanya di Beijing menjelang akhir tahun.

Kumpulan itu juga sedang berunding dengan pengeluar kelengkapan asal di China untuk menyediakan kepakaran kejuruteraan dan membangunkan kereta baginya dengan menggunakan teknologi Lotus.

"Kita tidak boleh bergantung kepada pasaran besar sahaja. Itulah sebabkan kami beralih kepada pasaran sedang berkembang. Kami bekerja sebagai satu pasukan, Proton dan Lotus," katanya sambil menambah kini ada minat baharu terhadap jenama dan kereta Lotus.

"Saya amat yakin. Cuma menunggu masa sahaja. Kami mahu pastikan pemulihan ini berjaya," tegasnya.

Mengulas prospek prestasi Proton di dalam negara tahun ini, Syed Zainal berkata meskipun ada tanda-tanda awal cabaran yang akan dihadapi tahun depan, namun pembuat kereta itu bersedia dengan pelancaran-pelancaran baharu yang menarik iaitu Exora berwajah baharu dan kereta segmen C.

Proton juga sedang berbincang dengan bank untuk menghasilkan skim kredit sewa beli yang menarik. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain