suria

Pengurus Besar KTMB Didakwa Rasuah RM33,000

KUALA LUMPUR: Pengurus Besar Bahagian Pengurusan Jalan, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Tajuddin Mohd Yusoff dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, atas tuduhan menerima rasuah berjumlah RM33,000.

Tajuddin, 54, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu yang didakwa diterima dalam bentuk lima keping cek daripada seorang pengarah syarikat pembinaan semasa dia menjawat jawatan Pengurus Besar Pengurusan Projek KTMB.

Tertuduh didakwa menerima cek-cek Bank Muamalat Berhad yang setiap satu bernilai RM6,600 daripada Pengarah Syarikat Sureman Sdn Bhd, Mohamed Salleh untuk membayar pinjaman overdraf Syarikat Intiwangi Sdn Bhd milik tertuduh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan semasa syarikat milik Mohamed Salleh mempunyai hubungan tugas rasmi dengan tertuduh selepas diberikan kontrak KTMB berkaitan kerja-kerja membaik-pulih landasan keretapi antara Stesen Gemas dan Stesen Kerdau serta Yard Tumpat, Kelantan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara 27 Mac dan 6 Oktober 2009 di RHB Bank Berhad, No 75, Jalan Tun H S Lee, di sini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sophian Zakaria mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mohd Sophian menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 terhadap tertuduh yang disifatkan sebagai satu jumlah yang berpadanan dengan kesalahan yang didakwa dilakukan oleh Tajuddin.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar Hakim Rozilah Salleh mengurangkan jumlah tersebut atas alasan gaji bulanannya tidak mencecah nilai RM15,000.

"Dalam akaun saya hanya mempunyai RM5,000 hingga ke RM6,000. Saya juga mohon jaminan dikurangkan kerana mempunyai anak yang masih bersekolah," katanya.

Rozilah menetapkan jaminan tertuduh pada jumlah RM12,000 dengan seorang penjamin dan kes akan disebut semula pada 14 Oktober depan untuk lantikan peguam.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain