suria

Pengukir Tersohor Negara Wan Su Othman Meninggal Pada Usia 115 Tahun

BESUT: Tokoh seni bidang ukiran kayu terkenal negara Wan Su Othman, meninggal dunia di kediamannya di Kampung Alor Lintang dekat sini awal pagi Khamis.

Allahyarham berusia 115 tahun.

Anak sulungnya, Wan Mustafa, 74, berkata Allahyarham meninggal dunia kira-kira 1.30 pagi kerana sakit tua.

Wan Su, yang menerima Anugerah Seni Negara pada 1977, meninggalkan seramai 14 anak, 56 cucu, lebih 88 cicit serta tiga cuit.

Wan Mustafa berkata, ayahnya merupakan seorang penggiat seni ukiran kayu yang banyak menghasilkan ciptaan di dalam dan luar negara, antaranya terdapat pada pintu utama Muzium Negara, Istana Diraja Pekan, Pahang dan lambang Universiti Teknologi Malaysia.

Anak Allahyarham yang mengikut jejak seninya termasuk Wan Mustaffa sendiri, yang pernah memenangi Anugerah Karyawan Kraf Negara Tahun 2002 serta mendapat gelaran Adiguru Ukiran Kayu Malaysia, dan penggiat seni lakon iaitu Wan Hanafi Su.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Alor Lintang pada 2 petang tadi.

Sementara itu, Persatuan Pengiat Seni Ukiran Kayu Malaysia (Pengukir) menyifatkan pemergian Wan Su sebagai satu kehilangan besar dalam bidang seni ukir negara yang tidak ada gantinya.

Yang Di Pertua Pengukir Norhaiza Noordin berkata hampir separuh daripada hidup Wan Su dihabiskan bagi meningkatkan mutu seni ukiran kayu dengan mendidik serta mengasuh generasi muda dalam bidang tersebut.

Beliau berkata, jika tidak ada usaha seperti yang dilakukan Allahyarham itu, bidang seni ukiran kayu negara mungkin telah lama berkubur dan tidak mempunyai pelapis seperti sekarang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain