suria

MAS Perlu Lebih Tumpuan Pada Penjenamaan Semula: Tony

KUALA LUMPUR: MAS perlu lebih banyak tumpuan kepada proses penjenamaan semula sebagai satu cara bagi syarikat penerbangan nasional itu untuk pulih, kata Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd Tan Sri Tony Fernandes.

Beliau berkata setelah kejayaan AirAsia dan Emirates dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dari segi penjenamaan, terdapat peluang yang besar bagi MAS untuk melabur dalam jenama, terutamanya bagi membolehkan orang ramai mengetahui lagi tentang syarikat penerbangan itu.

"MAS merupakan syarikat penerbangan yang baik. Tiada masalah kos dalam MAS. Masalahnya ialah perolehan (dan) jika kami terus tidak menjenamakan diri kita, baik kita membenarkan Etihad, Emirates, Singapore Airlines, (dan), Cathay Pacific menjadi syarikat penerbangan kita dalam negara ini.

"Jadi jika kita benar-benar mahu menjadi peneraju global dan mempunyai jenama yang diiktiraf di peringkat dunia, perlulah melabur," kata beliau kepada pemberita di luar acara Persidangan CEO Global Forbes di sini Rabu.

Tony berkata AirAsia telah melabur dengan banyak dalam membina jenamanya dengan menaja aktiviti sukan dan kebudayaan dan telah terbukti dengan pengiktirafan yang diperoleh di seberang laut.

Bagaimanapun, terpulanglah kepada ketua pegawai eksekutif yang baru untuk menerima cabaran ini dan bagi menangani cabaran dalam syarikat, kata Tony, yang juga pengarah bukan eksekutif bukan bebas MAS.

Meskipun terdapat keraguan daripada orang ramai dan mereka yang berkepentingan terhadap kerjasama MAS-AirAsia, Tony optimistik dengan hasil perkongsian itu di masa depan.

"Saya berpendapat dengan meletakkan pengurusan yang tepat, model yang baik, model tumpuan. Kerjasama antara Airasia dan MAS, saya rasa MAS mempunyai masa depan yang baik kerana kita di tempat yang sesuai di dunia, di mana banyak orang mahu mengembara," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain