suria

Kerajaan Tidak Pernah Pinggir Pembangunan SJKC, SJKT:Muhyiddin

MUAR: Kerajaan tidak pernah meminggirkan pembangunan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di negara ini, malah ia sentiasa memberi bantuan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran menolak pandangan sesetengah pihak yang mendakwa kerajaan dan kementerian kurang memberi perhatian kepada pembangunan SJKC dan SJKT di negara ini.

"Kerajaan telah membina 1,200 Sekolah Kebangsaan Jenis Cina dan 600 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil setakat ini.

Pembangunan ini ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan," katanya ketika merasmikan majlis pecah tanah pembinaan pusat aktiviti serbaguna Sekolah Tinggi Chung Hwa Muar, Khamis.

Kerajaan katanya, menyediakan peruntukan yang besar terhadap pembangunan SJKC dan SJKT kerana menyedari ia adalah sebahagian daripada tanggungjawab kerajaan terhadap sektor pendidikan negara ini.

Bagaimanapun Muhyiddin berkata, negara mempunyai dasar pendidikan kebangsaan di mana ia memberi keutamaan bagi membina sekolah-sekolah rendah dan menengah kebangsaan.

"Walaupun begitu, kita (kerajaan) tidak menyekat atau menghalang (terhadap pembangunan SJKC dan SJKT) bagi membolehkan kita menjadi hab pendidikan," kata beliau.

Katanya, setiap sekolah yang didirikan mempunyai tujuan yang baik iaitu untuk memberikan pendidikan yang terbaik kepada anak-anak bagi kemajuan negara ini pada masa depan.

Malaysia kata Timbalan Perdana Menteri, amat memberi perhatian kepada pendidikan rakyatnya, dengan 26 peratus daripada belanjawan tahunannya disalurkan kepada bidang pendidikan.

Bidang pendidikan katanya, turut diberikan perhatian mendalam oleh kerajaan dalam Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) dan Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) seperti meningkatkan pendidikan pra-sekolah dan lain-lain.

Muhyiddin juga berkata, penguasaan pelbagai bahasa oleh murid-murid seperti Bahasa Inggeris yang merupakan bahasa antarabangsa dan bahasa-bahasa lain termasuk Mandarin amat baik dan boleh memberi kelebihan kepada penuturnya.

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan pemberian peruntukan RM1 juta kepada Sekolah Tinggi Chung Hwa Muar bagi pembinaan pusat aktiviti serbaguna yang keseluruhannya berharga RM10 juta. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain