suria

Jawatankuasa Terpilih Parlimen Akan Diteruskan Tanpa Pembangkang - Nazri

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Terpilih Parlimen (JTP) tetap akan diteruskan meskipun tanpa penyertaan anggota Parlimen pembangkang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Beliau berkata ini kerana syarat penubuhan jawatankuasa itu tidak memperincikan bahawa ia hanya boleh berjalan dengan kehadiran dan penyertaan pembangkang dalam jawatankuasa berkenaan.

"JTP ini mesti dianggotai ahli-ahli Parlimen. Itu sahaja. Asalkan kita isi sembilan orang ahli parlimen di situ, maka sahlah dia.

"(Syarat) tak sebut pula JTP mesti terdiri daripada pembangkang, tidak ada. Itu adalah ehsan kerajaan. Kita punyai majoriti, (maka) atas ehsan kitalah. Kita baik, kita bagilah mereka tiga. Itu sahaja... bukan hak merekapun," katanya kepada pemberita pada majlis hari raya anjuran Amanah Raya Berhad di sini, Khamis.

Mohamed Nazri berkata jika pembangkang tidak mahu menyertai jawatankuasa itu, tempat yang dikhaskan untuk mereka akan diisi anggota Parlimen lain.

Beliau juga menyifatkan lima syarat yang diberikan pembangkang baru-baru ini kepada kerajaan sebagai tidak masuk akal dan gila.

"Jadi, kerajaan tidaklah gila sangat nak setuju dengan syarat mereka. Jadi macam mana kita nak akur dengan syarat mereka. Jadi kalau tak akur, (maka) mereka tidak akan ambil bahagianlah. "Itu agaknya yang dikehendaki mereka, tetapi saya nak beritahulah sama ada mereka ada ke tidak ada ke, JTP akan terus berjalan. Ketidakhadiran mereka dalam JTP tidak boleh menggagalkan JTP," katanya.

Lima tuntutan pembangkang ialah; menerima kelapan-lapan tuntutan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil serta menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya melaksanakan tuntutan yang termaktub di bawah bidang kuasa mereka; menetapkan tarikh pilihan raya umum secara sepakat antara pembangkang dan Barisan Nasional; memberi ruang yang cukup bagi PSC menjalankan tanggungjawab; memastikan isu pemberian taraf kewarganegaraan kepada warga asing sebagai salah satu agenda perbincangan; dan melaksanakan setiap keputusan PSC.

Sementara itu, mengulas keseriusan kerajaan mewujudkan JTP, Mohamed Nazri berkata pembangkang 'terkejut beruk' apabila kerajaan benar-benar melaksanakannya. "Jadi, bila (kerajaan) ambil keputusan untuk mengadakan jawatankuasa terpilih, itulah jalan yang betul, kerana kalau kita adakan perbahasan dalam dewanpun, perbahasan itu akan berakhir dengan mewujudkan jawatankuasa terpilih.

"Jadi bila kita bersetuju, mereka terkejut dan merekapun tidak serius dengan perkara ini. Jadi, bila tengok kerajaan serius, dia akan cari pelbagai alasan untuk tidak mengambil bahagian dan menurunkan lima syarat tidak masuk akal dengan tujuan mereka tidak akan ambil bahagian. Itu sahaja," katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Nazri berkata syarat pembangkang itu tidak akan diambil kira atau dipertimbangkan.

"Seperti yang Tun Dr Mahathir Mohamad (mantan Perdana Menteri) cakap semalam, penentuan sama ada nak diadakan pilihan raya sebelum lima tahun itu adalah merupakan hak Perdana Menteri, bukan hak pembangkang. Jadi, perkara-perkara yang tidak pernah berlaku itu tidak boleh dijadikan sebagai syarat.

"Saya rasa Anwar (Ibrahim - Ketua Pembangkang) pun faham. Waktu dia jadi Timbalan Perdana Menteri dulupun, beberapa pilihan raya telah diadakan. Jadi dia tahulah. Jangan pura-pura buat bodoh pula," katanya.

Pada 15 Ogos lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilapor berkata penubuhan jawatankuasa itu adalah bagi mengelak sebarang syak wasangka wujudnya manipulasi oleh kerajaan.

Jawatankuasa itu, selain diketuai seorang menteri, akan turut dianggotai sembilan wakil rakyat, lima dari parti kerajaan, tiga pembangkang dan satu bebas.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain