suria

Banjir Ganggu Perkhidmatan KTMB Di Sungai Buloh-Rawang

KUALA LUMPUR: Limpahan air hujan yang mengganggu struktur landasan berpunca daripada hujan lebat lewat petang semalam di Km366.5 di antara stesen Sungai Buloh dan Rawang, Selangor menyebabkan gangguan terhadap perkhidmatan tren Komuter, perkhidmatan antara bandar, kargo dan tren elektrik (ETS).

Menurut kenyataan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) pada Khamis ekoran kejadian itu kesemua perkhidmatan tersebut terpaksa dijadualkan semula.

Bagi perkhidmatan KTM Komuter, perkhidmatan tren dari Sungai Gadut ke Rawang ditamatkan di stesen Sungai Buloh dan berpatah balik ke Sungai Gadut manakala penumpang dari Sungai Buloh ke Rawang boleh meneruskan perjalanan dengan perkhidmatan bas yang disediakan.

Penumpang yang ingin ke Kuang boleh menaiki tren dari Rawang ke Kuang, bagaimanapun perkhidmatan Pelabuhan Klang ke Batu Caves dan Rawang ke Tanjung Malim tidak mengalami gangguan dan beroperasi seperti biasa.

Menurut kenyataan itu lagi antara perkhidmatan tren Antara Bandar yang terjejas dan dijadualkan semula ialah Ekspres Senandung Mutiara (No.23, Butterworth-Tanjung Malim) perkhidmatan Ekspres Sinaran Utara (No.10 Tanjung Malim- Butterworth) dan Perkhidmatan Ekspres Sinaran Utara (No.11 Butterworth-Tanjung Malim).

Turut terjejas ialah Perkhidmatan Ekspress Senandung Mutiara (No.22 Tanjung Malim-Butterworth), Perkhidmatan Ekspress Rakyat (No. 2 Singapura-KL Sentral, Tanjung Malim-Butterworth), Ekspress Rakyat (No. 1 Butterworth-Tanjung Malim, KL Sentral-Singapura) Ekspress Senandung Langkawi (No.21 Hat Yai-Ipoh) ekspress Senandung Langkawi (No.20 Ipoh-Hat Yai).

Perkhidmatan ETS yang dijadual semula adalah semua perkhidmatan ETS dari Ipoh ke KL Sentral atau Seremban yang ditamatkan di Rawang dan penumpang dipindahkan dengan menaiki bas ke KL Sentral dan begitu juga sebaliknya.

Menurut kenyataan itu kerja-kerja membaik pulih landasan dan struktur di jangka dapat disiapkan pada awal pagi Sabtu ini.

Maklumat lanjut mengenai perkhidmatan KTMB boleh didapati dengan menghubungi talian Pusat Khidmat Pelanggan KTMB 1-300-88-5862 dari pukul 9 pagi hingga 10 malam. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain