suria

Tindakan Afirmatif Untuk Bantu Bumiputera Kekal - Najib

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tindakan afirmatif untuk membantu bumiputera, yang diperkenal di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB), kekal tetapi berubah menjadi lebih mesra pasaran dan berdasarkan merit.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata, strategi kerajaan sekarang yang mewujudkan lebih banyak peluang bagi bumiputera, tanpa mengenakan kuota ke atas kaum lain, juga menarik bukan bumiputera.

"Apa yang kami dapati ialah cara ini (tindakan afirmatif di bawah DEB), pertamanya, ia tidak popular dengan pasaran dan keduanya, tidak benar-benar membantu kaum bumiputera.

"Apa yang cuba kami lakukan sekarang ialah mengubahnya, tindakan afirmatif kekal, tetapi ia harus lebih mesra pasaran dan harus lebih berdasarkan merit,” kata Perdana Menteri pada Persidangan CEO Global Forbes Ke-11 di sini, Selasa.

"Dengan kata lain, kami mewujudkan peluang bagi mereka berkembang maju dan tidak mengenakan kuota ke atas pihak lain. Jadi, itulah falsafah umumnya, kami menuju ke arah itu dan ia semakin baik dan lebih menarik kepada bukan Bumiputera jika kami melakukannya atas dasar itu,” katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain