suria

Pekerja Kontrak Didakwa Miliki 20 Keping Kad Kredit Palsu

SHAH ALAM: Seorang pekerja kontrak dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Rabu, atas tuduhan memiliki 20 keping kad kredit dan sebuah pasport Republic of China palsu, enam bulan lalu.

Lee Wee Sean, 28, mengaku tidak bersalah atas tuduhan memiliki kad-kad kredit palsu tersebut yang didakwa dengan curangnya hendak digunakan sebagai tulen pada pukul 10.11 malam, 10 Mac lalu di Coffee House, Hotel Concorde, Seksyen 9, di sini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang mempunyai dua orang anak didakwa mengikut Seksyen 474 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh juga memberikan pengakuan yang sama terhadap pertuduhan kedua, iaitu memiliki pasport Republik of China atas nama Robin Kuan yang didakwa dilakukan pada masa dan di tempat yang sama.

Bapa kepada dua orang anak itu didakwa mengikut Seksyen 12 (1)(a) Akta Pasport yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara sehingga tempoh lima tahun atau kedua-duanya.

Pada prosiding itu, peguam M. Hafiz Zainol Abidin merayu mahkamah mempertimbangkan jaminan RM3,000 yang ditawarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya R. Hemavathi atas alasan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan yang tetap.

"Selain menyara isteri yang tidak bekerja dan dua orang anak, tertuduh juga menyara ibunya. Saya difahamkan penjamin tertuduh datang dari Kedah dan hanya membawa wang sebanyak RM2,000," katanya.

Majistret Nik Haslinie Hashim membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM2,200 dan menetapkan 4 Oktober depan sebagai sebutan semula kes untuk penyerahan dokumen.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain