suria

Mat Sabu Fail Saman Terhadap Kumpulan Utusan

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu pada Rabu memfailkan saman fitnah terhadap akhbar Utusan Malaysia berikutan penyiaran laporan mengenai ceramah beliau berkaitan peristiwa Bukit Kepong sehingga menimbulkan kontroversi.

Saman itu dibuat berikutan keengganan akhbar tersebut menarik balik dakwaan fitnah dan mengemukakan permohonan maaf secara terbuka terhadapnya.

Peguam PAS, Hanipa Maidin berkata, saman berkenaan difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada pagi Rabu.

Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak dinamakan sebagai defenden pertama manakala penerbit, Utusan Melayu (M) Bhd sebagai defenden kedua.

"Saman ini menjurus kepada tuduhan menerusi tiga artikel yang disiarkan akhbar Utusan Malaysia pada 27 dan 28 Ogos lalu apabila mengaitkan anak guam saya dengan komunis," katanya.

Pada 27 Ogos lalu, laporan muka depan Utusan Malaysia menyiarkan berita berdasarkan ceramah Mohamad di Padang Menora, Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos yang antara lain menyebut Mat Indera yang terlibat dengan serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong adalah hero sebenar negara.

Susulan laporan itu, beliau dikecam banyak pihak kerana dianggap menyokong perjuangan komunis kerana didakwa mengangkat individu yang bersama-sama pengganas komunis menyerang Balai Polis Bukit Kepong.

Bagaimanapun Hanipa berkata, pihaknya tidak meletakkan sebarang jumlah tuntutan sebaliknya bergantung kepada keputusan mahkamah berdasasrkan ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi terlampau yang dituntut anak guamnya itu.

Sementara itu Hanipa berkata, selain Utusan Malaysia, beliau turut diarahkan oleh anak guamnya untuk memfailkan notis tuntutan saman terhadap Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

"Selepas ini kita akan failkan saman terhadap Tan Sri Muhyiddin dan Tan Sri Musa kerana mengeluarkan kenyataan mengaitkan anak guam saya dengan komunis dan pengganas," katanya.

Sementara itu bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat PAS di sini, Mohamad berkata saman berkenaan dibuat bagi mempertahankan dirinya daripada terus difitnah.

"Saya hanya akan mempertahankan diri dan mengelak daripada fitnah terutama tuduhan bahawa saya komunis, tuduhan sebagai pengganas dan mempertikaikan akidah saya.

"Fitnah tersebut boleh menyebabkan keselamatan saya dan keluarga saya terjejas. Maka kita perlu ambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang membuat fitnah tersebut," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain