suria

Malaysia Masih Tunggu Hasil Siasatan Punca Kematian Noramfaizul Dari Kerajaan Somalia - Anifah

PUTRAJAYA: Malaysia masih menunggu hasil siasatan menyeluruh Kementerian Keselamatan Dalam Negeri Somalia mengenai punca kematian jurukamera Bernama TV Noramfaizul Mohd Nor ketika menyertai misi bantuan kemanusiaan di Mogadishu pada awal bulan ini.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata siasatan awal menunjukkan pasukan pengaman Kesatuan Negara Afrika di Somalia (Amisom) yang melepaskan tembakan ke arah kereta yang yang membawa wartawan Malaysia.

"Pihak Berkuasa di Somalia bagaimanapun tidak dapat mendapatkan pengesahan kerana mereka tidak mendapat kerjasama daripada anggota Amisom.

"Kami telah meminta mereka menyiasat supaya ianya tidak berulang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Luar di Wisma Putra di sini, malam Rabu.

Noramfaizul, 39, terkorban setelah terkena tembakan curi ketika dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan dengan menaiki pacuan empat roda ketika menyertai misi bantuan kemanusiaan anjuran Kelab Putra 1Malaysia di Mogadishu, Somalia pada 3 September lepas.

Jurukamera TV3, Aji Saregar Mazlan turut mengalami kecederaan dalam kejadian itu. Sambil menyifatkan kejadian tembak tersebut sebagai "friendly fire" atau tembakan yang dilepaskan terhadap pihak atau sekutu sendiri, Anifah berkata perkara seperti itu "pernah berlaku sebelum ini di Afghanistan, Iraq dan negara-negara lain".

"Sebab itu kenapa saya kata bahawa bahaya pergi ke negara seperti Somalia sentiasa ada tanpa mengira betapa banyak langkah keselamatan yang kita ambil," katanya.

Apabila ditanya mengenai pengumuman Kelab Putra 1Malaysia yang mahu meneruskan misi bantuan kemanusiaan ke Somalia pada bulan depan, Anifah berkata Wisma Putra sedia membantu menghubungi pihak berkuasa di sana untuk memastikan keselamatan pasukan sukarelawan dilindungi sebaik mungkin.

"Walau bagaimanapun, kita sudah memaklumkan kepada sukarelawan mengenai risiko-risiko yang bakal hadapi di negara-negara bergolak," katanya.

Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim mengumumkan bahawa misi bantuan kemanusiaan akan kembali ke Somalia pada bulan depan untuk memberikan bantuan di negara itu, selain menamakan sebuah khemah pelarian di sana sempena nama Noramfaizul. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain