suria

Bekas Pengurus Jualan Didakwa Pecah Amanah RM25,000

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengurus jualan sebuah syarikat swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, Rabu terhadap tuduhan pecah amanah membabitkan RM25,000, dua tahun lepas.

Khoo Seng Kang, 65, didakwa tidak memasukkan wang itu ke dalam akaun Syarikat Cellgen Lifesciences (M) Sdn Bhd di Unit 11-8, Level 8, The Boulevard, Mid Valley, Lingkaran Syed Putra, Brickfields pada 5 Feb 2009 hingga 23 Mac 2009.

Tertuduh didakwa mengikut Sesyen 408, Kanun Keseksaaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun, sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim Rozana Ali Yusoff membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 Oktober untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya P. Viknesvaran memohon mahkamah mengenakan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin.

Peguam Datuk David Gurupatham yang mewakili Khoo memohon kepada mahkamah agar wang jaminan itu dikurangkan kerana anak guamnya perlu menanggung tiga anak yang masih kecil selain tidak mempunyai rekod jenayah lampau. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain