suria

Pemuda Umno Daftar 8,000 Ahli Sebagai Pengundi

PARIT: Pergerakan Pemuda Umno berjaya mendaftarkan 8,000 anggotanya sebagai pengundi pada kempen yang berlangsung sepanjang Ramadan sehingga Aidilfitri minggu lepas.

Pengerusi Biro Pemilih dan Keahlian Pemuda Umno Hisamuddin Yahya berkata angka itu satu pencapaian memberangsangkan, sekali gus menambah keyakinan dapat mendaftarkan baki 51,000 lagi dalam masa terdekat.

Bercakap kepada Bernama, di sini hari ini, Hisamuddin berkata Sabah mencatatkan jumlah anggota paling ramai belum mendaftar sebagai pemilih, iaitu kira-kira 21 peratus daripada angka tersebut.

Perak dan Selangor pula masing-masing mencatatkan sekitar sembilan peratus, katanya.

Hisamuddin berkata Ketua Pemuda Umno Sabah Awang Kading telah memulakan usaha untuk mendaftar kira-kira 20,000 anggotanya.

Selain itu Pemuda Umno juga bercadang untuk menghantar pasukan khas ke Sabah bagi membantu proses pendaftaran tersebut, terutama di kawasan pedalaman, katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain