suria

Kastam Rampas Dadah Dalam Dua Kes Berasingan Bernilai RM46 Juta

NILAI: Kastam Cawangan Narkotik Ibu Pejabat, dalam dua kes berasingan merampas kira-kira 183kg dadah jenis syabu bernilai RM46 juta yang cuba diseludup ke negara ini melalui kargo udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Penolong Ketua Pengarah Kastam, Datuk Zainul Abidin Taib berkata, rampasan dadah jenis Syabu ini adalah rampasan yang terbesar pernah dibuat oleh pihak kastam pada tahun ini.

"Dalam serbuan ke atas sebuah premis kediaman di Taman Titiwangsa, Kuala Lumpur pada kira-kira pukul 8.40 malam semalam, sejumlah 15 peti kayu berjaya ditemui dan pihak kastam berjaya mengesan dadah jenis Syabu yang disorokkan di bahagian bawah pada setiap peti kayu tersebut.

"Semua peti kayu tersebut diikrar sebagai pasu kraftangan dan telah membayar cukai terlibat ke atasnya sebanyak RM5,000," katanya pada sidang media di sini, Selasa.

Beliau berkata, seorang lelaki warganegara Iran berumur 29 tahun ditahan untuk membantu siasatan dan suspek dipercayai sebagai pemilik barang tersebut.

Katanya, siasatan awal mendapati semua peti kayu tersebut dihantar oleh seorang individu dari negara yang sama melalui penerbangan Qatar Airways dari Doha, Qatar ke KLIA.

"Hasil pemeriksaan rapi ke atas semua peti kayu tersebut, kita berjaya menemui dadah disyaki jenis syabu (metahmphetamine) seberat kira-kira 89 kg dengan anggaran nilai pasaran kira-kira RM22 juta.

"Suspek ditahan reman selama 14 hari dan disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952. Mengikut rekod suspek sudah memasuki Malaysia sebanyak tiga kali sebagai pelancong dan dua kali daripadanya melalui Indonesia serta tempoh tinggalnya di Malaysia antara lima hingga 30 hari," katanya.

Zainul berkata pada kira-kira pukul 1.30 petang, 27 Ogos lepas pihaknya menyerbu sebuah premis kediaman di Ampang Jaya, Selangor di mana sejumlah 10 peti kayu berjaya ditemui.

"Hasil pemeriksaan kita berjaya mengesan dadah dipercayai jenis syabu yang disorok di bahagian bawah pada setiap peti kayu tersebut. Barangan itu diikrar kepada kastam sebagai barang kraftangan, kaca dengan cukai dibayar dianggarkan RM6,000.

"Dadah jenis syabu itu seberat kira-kira 94 kg dengan anggaran nilai pasaran RM24 juta. Semua peti kayu tersebut dihantar oleh seorang individu dari negara yang sama melalui penerbangan Mahan Air dari Tehran, Iran ke KLIA untuk penerima di Malaysia dipercayai dari negara yang sama," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain