suria

Kastam KLIA Patah Cubaan Seludup Dadah Guna Sandal Wanita

SEPANG: Cubaan menyeludup dadah jenis methamphetamine atau syabu dan heroin yang disorokkan dalam tiga pasang sandal wanita berjaya dikesan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ketiga-tiga pasang sandal yang mengandungi 397 gram dadah jenis syabu bernilai RM100,000 dan 211 gram dadah jenis heroin bernilai RM40,000 itu, diletakkan dalam sebuah kotak untuk dihantar ke alamat penerima di Indonesia menggunakan perkhidmatan pos ekspres.

Pengarah Kastam KLIA Datuk M. Govinden berkata, pengirim menggunakan alamat Lot 133, Rumah Panjang Jalan Pasir Ujung, Banting, Selangor dan hasil siasatan mendapati alamat tersebut tidak wujud. "Dadah itu dirampas pada 7 September lepas dan kita sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti pengirimnya melalui pejabat pos tempat barangan tersebut dikirim," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Govinden berkata, dalam kes berasingan, seorang warga Afrika ditahan selepas dipercayai cuba menyeludup masuk syabu seberat 3.1 kilogram, dianggarkan bernilai RM775,000.

Lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira pukul 7 malam tadi di KLIA sebaik tiba dengan penerbangan Egypt Air dari Kaherah ke Kuala Lumpur, katanya dan menurutnya wang tunai berjumlah USD3,000 turut dirampas daripada suspek.

Selain itu, katanya kastam turut merampas "chewing tobacco" yang cuba diseludup masuk dengan mengisytiharkan barangan berkenaan sebagai 100 karton Car Air Freshner, dengan nilai cukai RM164,971.25.

"Barangan itu dirampas di pintu keluar Zon Perdagangan Bebas, KLIA juga 7 September lepas kira-kira pukul 1.30 pagi, pemandu lori berkenaan turut ditahan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain