suria

Jawatankuasa Kabinet Kaji Kos Beban Rakyat - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Semua pihak diingatkan supaya tidak mengambil langkah dengan sewenang-wenangnya terutama bagi membebankan rakyat dengan pelbagai kos perbelanjaan termasuk kenaikan harga cukai tanpa merujuk kepada kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan untuk menaikkan harga barang mahupun cukai perlu diperhalusi dengan mendalam terutama bagi memastikan rakyat tidak terus dibebani dengan pelbagai kos yang tinggi.

"Kita sebagai kerajaan yang prihatin tidak mahu membebankan rakyat dengan apa-apa sahaja tindakan yang boleh menambahkan kos rakyat.

"Contohnya soal bayaran prabayar. Bila isu ini berbangkit, kita kena teliti di masa-masa akan datang supaya jangan ada pihak-pihak lain yang sewenang-wenangnya mengambil langkah yang boleh membebankan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis anugerah dan tawaran baru kepada pengetua dan guru besar Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan 2010 di Bahagian Teknologi Pendidikan, Bukit Kiara di sini, Selasa.

Pada Isnin Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, syarikat telekomunikasi (telco) bersetuju menangguhkan kutipan cukai perkhidmatan enam peratus terhadap pengguna talian pra-bayar sehingga perbincangan semula dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Ia berikutan bantahan pelbagai pihak apabila telco mengumumkan mereka akan mula mengutip cukai perkhidmatan enam peratus untuk perkhidmatan prabayar bermula Jumaat ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Bekalan dan Harga Barang berkata, jawatankuasa berkenaan akan bermesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan mengenai kaedah menguruskan kos bebanan rakyat.

Katanya kerajaan akan meneliti semula pelbagai aspek termasuk perjanjian bagi menaikkan kos tertentu yang dibuat sebelum ini.

"Sebaiknya kita bincang dahulu walaupun mereka berkata ini sudahpun diputuskan (sebelum ini). Ini satu pengajaran bagi kita kerana sekarang ini apa sahaja fakta yang boleh meningkatkan kos beban hidup kita tak boleh ambil mudah.

"Kenaikan kos pengangkutan, harga barang dan semuanya perlu kita ambil kira. Jadi langkah yang dibuat oleh kerajaan untuk masuk campur dalam soalan sebegini (cukai prabayar) saya fikir baik untuk rakyat," katanya.

Tegasnya lagi kerajaan berusaha untuk memastikan rakyat tidak terus dibebankan dengan pelbagai kos hidup termasuk mengurangkan perbelanjaan harian.

"Kita akan berbincang dalam mesyuarat kabinet beberapa hari akan datang untuk menilai segala aspek termasuk cara nak menguruskan hal rakyat supaya tak dibebankan dengan kos hidup yang bertambah.

"Kalau boleh kita (mahu) kurangkan (kos perbelanjaan), yang penting agar rakyat tak bayar lebih daripada apa yang ditetapkan," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain