suria

Tiga Maut Nahas Tiga Kenderaan Di Lebur Raya Pantai Timur

KUANTAN: Tiga lelaki maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di km214.9, Lebuh Raya Pantai Timur, dekat Gambang di sini, petang Ahad.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Supritendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata kejadian pada pukul 5.50 petang itu membabitkan kereta jenis Mercedes, Proton Satria dan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

"Mangsa yang terbunuh ialah pemandu Mercedes, Yee Koi Chee, 68, berasal dari Air Putih, Kuantan, pemandu Proton Satria, Mustafa Kamal Samah, 40, pekerja swasta dari Awana Kijal, Kemaman dan Wong Hong Yen, 40-an yang memandu Toyota Hilux," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Beliau berkata ketika kejadian Toyota Hilux terbabit dalam perjalanan dari arah Kuantan menuju ke Kuala Lumpur, manakala Mercedes dan Proton Satria dari arah Kuala Lumpur ke Kuantan.

"Sampai tempat kejadian, dipercayai Wong, 40-an, yang memandu Toyota Hilux bersendirian itu hilang kawalan lalu terbabas ke kanan dan melanggar besi penghadang jalan sebelum memasuki laluan bertentangan.

"Keretanya kemudian dirempuh Mercedes dan Proton Satria menyebabkan kenderaannya terbakar dan dia tercampak keluar," katanya.

Pemandu Mercedes terbabit maut di tempat kejadian manakala isterinya yang berusia 66 tahun cedera parah dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

"Mustafa Kamal dan Wong yang cedera parah disahkan meninggal dunia di HTAA ketika menerima rawatan," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain