suria

PAS Jangan Perlekehkan Sumbangan Umno Pada Islam - Mustapa

KOTA BAHARU: Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed mengingatkan PAS jangan mudah memperkecilkan sumbangan Umno terhadap agama, bangsa dan negara sejak 54 tahun negara merdeka.

Beliau berkata banyak sudah perubahan dialami negara hasil sumbangan Umno bersama Barisan Nasional dalam memartabatkan Islam serta rakyatnya di mata dunia.

Justeru, Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, menasihati Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat agar tidak mudah menjadi angkuh dengan memperlekehkan sumbangan dan perjuangan Umno terhadap Islam.

"Kita berjuang untuk agama bangsa dan negara. Jangan jadi angkuh kerana ingat kita seorang saja yang berjuang untuk Islam. "Kita kena terima hakikat bahawa setiap orang menyumbang kepada Islam dan negara melalui cara masing-masing. Cumanya, tidak semua perjuangan itu ada sama kaedahnya," katanya kepada pemberita selepas majlis Aidilfitri Hospital Raja Perempuan Zainab II, di sini, Ahad.

Mustapa berkata demikian ketika mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz pada Jumaat lepas bahawa tiada faedahnya Umno menawan Kelantan disebabkan tidak akan mendapat balasan yang baik di akhirat kerana ia tidak selari dengan kehendak Islam.

Beliau berkata lebih wajar PAS melihat sumbangan Umno daripada aspek memartabatkan Islam melalui pembangunan dan kemajuan pengetahuan rakyat di negara ini. "Kalau dahulu sebelum merdeka orang Melayu terkenal dengan sifat malunya.

Tetapi setelah 54 tahun merdeka, Melayu sudah berubah dengan membawa pelbagai perubahan dan kemajuan.

"Semua ini terima kasih atas sumbangan pemimpin Umno terdahulu dalam menubuhkan pelbagai dasar seperti Dasar Ekonomi Baru, Majlis Amanah Rakyat serta universiti untuk kemajuan rakyat khususnya umat Islam," katanya.

Mustapa menegaskan Umno ingin memenangi Kelantan demi menguruskan negeri itu ke arah yang lebih baik.

Beliau berkata kini biarlah rakyat Kelantan yang menilai prestasi Umno dan menentukannya dalam pilihan raya umum nanti. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain