suria

Lima Lelaki Ditahan Terlibat Kes Dadah

JITRA: Lima lelaki ditahan manakala 596.05 gram dadah jenis heroin dirampas dengan nilai anggaran RM58,000 dalam dua serbuan berasingan di kampung Keda Pochan dan kampung Lubuk Pinang, Ayer Hitam dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supt Ibrahim Mohamad Yusof berkata dalam serbuan pertama di sebuah rumah di kampung Keda Pochan dekat sini pada 4 Sept jam 2 petang, empat lelaki tempatan berusia 19 hingga 30 tahun ditahan dan polis merampas 253.25 gram heroin bernilai RM25,400.

"Dadah ditemui dalam salah sebuah bilik tidur dalam rumah berkenaan dan polis turut menemui 6.39 gram syabu. Salah seorang suspek baru habis menjalani hukuman kerana terbabit kes dadah sebelum ini," katanya pada sidang media di sini, Isnin.

Beliau berkata dalam serbuan kedua di sebuah rumah di kampung Lubuk Pinang, Ayer Hitam dekat sini pada 8 Sept pukul 11.30 pagi, seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun ditahan dan 342.8 gram heroin bernilai RM32,600 dirampas.

"Turut ada bersama suspek yang baru keluar daripada pusat serenti itu (Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik [Puspen]) ialah 2.4 gram syabu," katanya.

Ibrahim berkata, kedua-dua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati mandatori.

Dalam kes berasingan, beliau memberitahu polis menemui sebuah beg berkunci mengandungi 18 ketulan mampat dipercayai ganja di kawasan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Bukit Kayu Hitam pada 9 Sept pukul 12.45 pagi.

"Beg berkenaan ditemui ditinggalkan berhampiran pokok di kawasan ICQ itu dan hasil pemeriksaan terdapat ketulan mampat dipercayai ganja di dalamnya bernilai RM45,000," katanya.

Katanya setakat ini tiada tangkapan dibuat berhubung penemuan beg berkenaan dan pihaknya masih giat menjalankan siasatan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain