suria

Jangan Tafsir Sejarah Ikut Kefahaman Sendiri:Puad Zarkashi

JOHOR BARU: Masyarakat hari ini diingatkan supaya tidak membuat tafsiran sendiri tentang sejarah sehingga boleh menimbulkan kekeliruan.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata tafsiran kerana jahil dan mengikut fahaman politik tanpa berlandaskan sumber yang sahih boleh mendatangkan bahaya sehingga mencetuskan polemik dalam masyarakat.

"Sejarah tidak boleh diubah atau ditokok tambah. Jadi apa yang berlaku hari ini adalah masalah tafsiran sehingga menimbulkan polemik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Antarabangsa Sekolah Berasrama Penuh 2011 di Sekolah Tun Fatimah di sini.

Beliau mengulas peringatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam supaya semua pihak tidak sesekali cuba mengubah fakta sejarah dengan mengagung-agungkan kezaliman pengganas komunis pada zaman darurat dahulu.

Mohd Puad berkata polemik yang berlaku sekarang sengaja dicetuskan oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi meraih sokongan politik dan pada masa sama cuba mewujudkan persepsi buruk terhadap kerajaan.

Beliau meminta mana-mana pihak yang mempunyai sebarang keraguan terhadap sejarah supaya merujuk kepada pakar yang berkaitan.

Mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa pengajaran mata pelajaran sejarah di sekolah 'kurang tepat' kerana tidak mempunyai latar belakang perjuangan kemerdekaan, Mohd Puad berkata pihaknya akan meneliti perkara itu.

Katanya jawatankuasa khas mata pelajaran sejarah di kementerian sedang menjalankan kajian dan laporannya dijangka siap hujung tahun ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain