suria

Dua Kapal Tangki Berlanggar Berhampiran Pulau Tioman

KUANTAN: Seramai 19 anak kapal termasuk kaptennya nyaris maut apabila kapal tangki MT Cendanawati berlanggar dengan sebuah kapal tangki di sini, pagi Ahad.

Pengarah Operasi Wilayah Maritim Timur Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kapten Maritim Syd Mohd Fuzi Syed Hassan berkata dalam kejadian 5 pagi itu, MT Cendanawati membawa 1,600 tan minyak pelincir dari Thailand ke Indonesia.

Bercakap kepada pemberita di sini, Isnin beliau berkata ketika di lokasi kejadian ketua pengawal kapal itu menyedari kehadiran sebuah kapal tangki, MT Cosmic 10 di laluan MT Cendanawati dan cuba menghubunginya namun gagal.

"Beliau kemudian mengubah haluan kapal ke kiri, namun tiba-tiba MT Cosmic 10 juga mengubah laluan menyebabkan pelanggaran.

"Akibatnya berlaku kerosakan teruk pada bilik kapten dan bilik enjin MT Cendanawati sehingga menyebabkan kebocoran dan kapal itu hampir tenggelam," katanya.

Bagaimanapun MT Cosmic 10 bertindak meneruskan pelayaran dan anak kapal MT Cendanawati diselamatkan oleh kapal Lady Anyvisia yang berada kira-kira tiga batu nautika dari tempat kejadian. Akibat kejadian itu, kapten MT Cendanawati yang berusia 45 tahun cedera ringan di kepala, katanya.

Beliau berkata kes diserahkan kepada Jabatan Laut untuk siasatan lanjut. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain