suria

Bekas CEO Sime Bank Bebas Selepas 14 Tahun

KUALA LUMPUR: Selepas 14 tahun, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sime Bank Bhd, Datuk Ismail Zakaria akhirnya dapat menarik nafas lega apabila Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, melepas dan membebaskan beliau daripada tuduhan bertindak di luar bidang kuasa dalam meluluskan pinjaman berjumlah RM175 juta.

Hakim Datuk Khatijah Idris membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa pembelaan Ismail, 68, yang diberikan secara bersumpah berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap empat pertuduhan yang dihadapinya.

Perbicaraan sebelum ini melibatkan lebih 30 orang saksi pendakwaan.

Khatijah pada penghakimannya berkata, berdasarkan keterangan yang diberikan oleh saksi-saksi dan hujahan yang dikemukakan, beliau mendapati tindakan Ismail semasa meluluskan pinjaman tersebut adalah tertakluk kepada bidang kuasanya yang telah diluluskan oleh Ahli Lembaga Pengarah bank berkenaan.

Ismail didakwa atas empat pertuduhan di bawah Akta Perbankan dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (BAFIA) iaitu bertindak di luar bidang kuasanya ketika meluluskan pinjaman tersebut yang didakwa dilakukannya antara 20 September 1997 dan 21 Oktober 1997.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu dengan meluluskan pinjaman berjumlah RM59 juta, RM50 juta, RM40 juta dan RM26 juta kepada sebuah syarikat pegangan pelaburan, Everise Capital Sdn Bhd.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabatnya, tingkat 2, Bangunan Sime Bank, Jalan Sultan Ismail, di sini.

Bagi kesalahan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 65(1) BAFIA 1989 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, Ismail boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM5 juta atau kedua-duanya sekali.

Pada prosiding itu, Ismail diwakili oleh peguam-peguam Ahmad Zaidi Zainal dan Kitson Foong manakala barisan pendakwaan dibarisi oleh Pegawai Pendakwa daripada Bank Negara, Anthony Kularaj Kulasingam dan Yip Kah Kit.

Kes ini pernah berlanjutan ke Mahkamah Rayuan apabila Ismail memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang menolak permohonannya agar Khatijah menarik diri daripada terus mendengar kes tersebut.

Bagaimanapun, pada 11 Januari lalu, Mahkamah Rayuan memerintahkan agar Khatijah terus bertindak sebagai hakim sehingga kes itu selesai selepas berpuas hati bahawa tidak timbul konflik kepentingan terhadap Ismail.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain