suria

Terpulang Kepada Peguam Negara Ambil Tindakan Terhadap Mat Sabu: Hishammuddin

KLANG: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata terpulang kepada Peguam Negara untuk mengambil sebarang tindakan terhadap Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berhubung kenyataannya mendakwa pengganas komunis yang menyerang dan membunuh anggota polis dalam tragedi Bukit Kepong pada 1950 sebagai hero sebenar perjuangan kemerdekaan negara.

Beliau berkata kes Mohamad Sabu banyak berkisar kepada undang-undang dan oleh itu hanya Peguam Negara yang dapat menentukan bentuk tindakan terhadap beliau.

"Saya tak boleh cakap lebih dari itu, nanti orang tuduh kita menyuruh dan mengarah Peguam Negara. Kalau perkara ini berkisar kepada undang-undang negara, maka pihak yang menentukan pendakwaan itu dilaksanakan di mahkamah ialah Peguam Negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Pesta Tanglung dan Merdeka Raya 2011 di sini, malam Sabtu.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakob, dilaporkan berkata polis telah menyiapkan kertas siasatan terhadap Mohamad Sabu dan dihantar ke Bukit Aman untuk diteliti dan akan dirujuk kepada Pejabat Pendakwa Raya dalam tempoh terdekat.

Hishammuddin bagaimanapun berkata kenyataan Mohamad Sabu tidak mengancam keselamatan negara dan oleh itu bukan satu opsyen untuk menyiasat beliau di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Mengulas mengenai kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar yang meluahkan rasa dukacita kerana Ops Sikap ke-24 gagal mencapai matlamatnya untuk mengurangkan kadar kemalangan maut, Hishammuddin berkata ia mungkin disebabkan oleh pendekatan yang tidak berjaya.

"Kita boleh ubah pendekatan (untuk mengurangkan kadar kemalangan maut menerusi Ops Sikap) tahun depan. I personally feel it should be firmer. Walau apa pun ia bergantung kepada pihak polis memikirkan kaedah terbaik," katanya.

Hishammuddin berkata kemalangan jalan raya banyak berlaku disebabkan sikap pemandu itu sendiri ketika berada di atas jalan raya.

"Kalau tak ubah sikap dan pemikiran di atas jalan raya, apa cara pendekatan sekalipun tak akan selesai masalah," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain