suria

Perdana Menteri Pemimpin Yang Boleh Dibanggakan

BUKIT MERTAJAM: Ketua Umno bahagian Permatang Pauh Datuk Abdul Jalil Abdul Majid menyifatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai pemimpin yang boleh dibanggakan kerana sanggup menghadiri majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri-Merdeka 2011 di sini.

Katanya walaupun Parlimen Permatang Pauh diwakili ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri lebih mengutamakan rakyat dan penduduk Permatang Pauh sangat bertuah dengan kehadiran beliau.

"Kami rasa macam mimpi Perdana Menteri datang ke Permatang Pauh walaupun hujan sejak malam tadi sehingga pagi ini," katanya sewaktu berucap mewakili penduduk Permatang Pauh pada majlis itu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Guar Perahu di sini, Ahad.

Abdul Jalil berkata kehadiran Perdana Menteri juga lambang semangat perpaduan pelbagai kaum.

Perdana Menteri tiba di SMK Guar Perahu kira-kira 12.20 tengah hari setelah mengunjungi dan menyampaikan sumbangan kepada suri rumah Puan Norasmah Othman, 41, di Mukim 21, Padang Ibu, Kubang Semang, Bukit Mertajam dan kemudian menaiki teksi ke SMK Guar Perahu.

Ketibaan Najib yang diiringi Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim ditunggu kira-kira 25,000 rakyat pelbagai lapisan yang datang sejak 8 pagi walaupun majlis dijadualkan bermula 11.30 pagi.

Pelbagai jenis menu makanan disediakan pada majlis itu yang diserikan dengan persembahan oleh artis-artis tanahair. - BERNAMA

Artikel Lain