KUALA LUMPUR: Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye hari ini mencadangkan agar Hari Malaysia diisytihar sebagai 'Hari Malaysia - Hari Perpaduan' bagi mencerminkan aspirasi semua rakyat Malaysia untuk sebuah negara yang bersatu padu."Memandangkan kita akan merayakan hari pembentukan Malaysia yang ke-48 tidak lama lagi bersama-sama Hari Kemerdekaan ke-54, adalah wajar kita memberi tumpuan dan perhatian kepada aspek membina dan memperkukuhkan perpaduan di kalangan penduduk kita yang berbilang kaum," katanya dalam kenyataan di sini Ahad. Beliau turut meminta rakyat Malaysia untuk menjadikan Sabah, Sarawak dan semenanjung Malaysia lebih dekat dalam semangat integrasi serantau dan perpaduan negara dalam 1Malaysia."Hari Malaysia harus menjadi kuasa penyatuan untuk membawa rakyat pelbagai bangsa bersama-sama mencapai matlamat yang sama dan untuk kejayaan negara."Rakyat Malaysia perlu menerima satu sama lain sebagai rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama dan mesti bangga untuk memperkenalkan diri mereka sebagai rakyat Malaysia dahulu, kerana pengenalan seumpama itu akan memupuk semangat patriotisme dan membangunkan perpaduan," katanya.Lee yang juga naib presiden Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) berkata walaupun hubungan antara kaum di negara ini baik, rakyat Malaysia tidak seharusnya memandang ringan perkara-perkara berkaitan hubungan antara kaum dan agama.Beliau berkata rakyat Malaysia perlu sentiasa prihatin mengenai sensiviti agama dan budaya demi keharmonian antara kaum."Proses mewujudkan sebuah negara Malaysia yang bersatu padu adalah berterusan, dan apa yang telah dicapai sehingga kini perlu dipupuk dan diperkukuh," katanya. - BERNAMA