suria

Kerajaan Tingkat Interaksi Dengan Rakyat Di Luar Negara: Muhyiddin

LONDON: Interaksi kerajaan dengan rakyat Malaysia yang berada di luar negara akan terus dipertingkatkan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata hubungan sedia ada akan diperkukuhkan lagi agar rakyat yang belajar atau bekerja di luar negara tidak ketinggalan mendapat maklumat mengenai perkembangan terbaru dan isu semasa di tanah air.

Katanya program Forum Merdeka 2011, Karnival Merdeka dan dialog yang diadakan di beberapa lokasi di London sempena lawatan rasmi beliau ke United Kingdom antara program yang sesuai dilaksanakan setiap tahun.

"Forum Kemerdekaan yang disertai dua tokoh terkemuka negara sebagai panel memberi peluang kepada penuntut dan masyarakat Malaysia yang ada di United Kingdom untuk lebih memahami mengenai perkara yang berlaku di negara termasuk soal ekonomi dan politik," katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran bercakap kepada wartawan Malaysia sebelum mengakhiri lawatan rasmi empat hari beliau ke negara ini.

Beliau ditemani isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Forum dengan tajuk "Kemerdekaan 54 Tahun, Membina Satu Bangsa, Berkongsi Satu Matlamat" menampilkan dua ahli panel, Pengarah Institut Pengajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pengajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia, Datuk Dr Mahani Zainal Abidin.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Datuk Zakaria Sulong bertindak sebagai moderator forum yang diadakan Jumaat lalu.

Muhyiddin berkata beliau juga berpuas hati dengan sesi dialognya dengan komuniti Malaysia di sini, ada di antaranya datang dari jauh semata-mata untuk mengetahui isu terkini negara.

"Pada sesi dialog saya dengan pelajar dan masyarakat di sini, banyak perkara dibangkitkan berkait dengan pentadbiran kerajaan dan pengurusan pendidikan.

"Saya juga berkesempatan untuk menjelaskan beberapa perkara termasuk soal pengajaran dalam Bahasa Inggeris selain pembangunan pendidikan secara keseluruhannya," katanya.

Muhyiddin berkata pihaknya mendapat saranan daripada para peserta dialog yang boleh digunapakai dalam memperbaiki mutu pembelajaran di dalam negara.

Selain forum dan dialog, acara Karnival Merdeka yang dianjurkan pihak kedutaan Malaysia di United Kingdom juga berjaya menghimpunkan ramai rakyat Malaysia daripada berbilang bangsa.

"Ini kesempatan untuk kita berinteraksi dengan rakyat, perhimpunan seperti ini dapat mengimbau kembali dan menghayati erti kemerdekaan walaupun berada di rantau orang," katanya.

Muhyiddin berkata peserta karnival terutamanya generasi muda diajak menghayati dan mengingati sejarah dan perjuangan tokoh-tokoh kemerdekaan negara.

"Ini peluang untuk saya bertemu dengan rakyat di sini. Walaupun mereka ada di perantauan, tapi semangat kebangsaan mereka masih kukuh, kita juga jelaskan walaupun mereka ada di sini, negara perlu sumbangan mereka.

"Saya juga putuskan Forum Merdeka ini diadakan setiap tahun dengan membawa pakar terpilih daripada pelbagai bidang bagi memberi peluang mereka yang berada di luar negara menilai apa sebenarnya yang berlaku di negara kita," katanya.

Katanya acara seperti itu akan diadakan di negara-negara lain dan mungkin juga diadakan di dalam negara untuk memberi kefahaman tepat tentang erti perjuangan dan fakta sejarah sebenar.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Perdana Menteri berkata fakta sejarah tidak boleh dihapus, dipadamkan atau diputar belit untuk menidakkan situasi yang telahpun berlaku.

"Sejarah mempunyai tafsiran tertentu, ia dianalisis oleh pakar sejarah, kadang-kadang orang politik nak tafsir sendiri mungkin tidak tepat," katanya.

Timbalan Perdana Menteri dijadual berlepas pulang ke Kuala Lumpur, Ahad. - BERNAMA

Artikel Lain