suria

Jamil Khir Minta Kerajaan Terengganu Sediakan Kertas Kerja Mengenai Anak Tidak Sah Taraf

YAN: Kerajaan Terengganu diminta segera mengemukakan kertas kerja mengenai cadangannya supaya anak tidak sah taraf mempunyai bin atau binti dengan nama bapa kepada kerajaan pusat secepat mungkin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom ketika membuat permintaan itu menyarankan kerajaan Terengganu agar mengambil kira konteks hukum syarak dalam kertas kerja tersebut.

"Kertas kerja ini perlu lengkap dan berlandaskan hukum syarak supaya boleh dibincangkan sama dengan Majlis Fatwa Kebangsaan kerana saya melihat ia (cadangan) baik.

"Bagaimanapun kita juga perlu melihat dalam konteks hukum iaitu melalui ayat al-Quran berbunyi 'panggillah mereka itu dengan nama bapa-bapa mereka' dalam pengertian bin mereka yang sebenar," katanya kepada pemberita semasa diminta mengulas cadangan kerajaan Terengganu mengenai perkara itu baru-baru ini.

Jamil Khir yang ditemui pada majlis Multaqa Penyelia, Guru Kafa dan Guru Takmir Zon Tengah di Regency Jerai Hill Resort dekat sini pada Sabtu, berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedia berbincang dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta Majlis Fatwa Kebangsaan bagi merungkai pelbagai persoalan hukum daripada cadangan tersebut.

Kerajaan Terengganu dalam cadangannya juga merumuskan mekanisme dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk JPN bagi membolehkan anak tidak sah taraf didaftarkan dalam sijil kelahiran dengan bin atau binti bapa.

"Dalam kontek pentadbiran pusat, mungkin kita boleh duduk bersama dengan JP Ndan bermuzakarah dengan Majlis Fatwa bagi mendapatkan kepastian sama ada ia boleh dilaksanakan," kata Jamil Khir.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Jakim sedang merangka kertas kerja untuk menambah baik hal-hal berkaitan kebajikan guru Kafa dan Takmir bagi meningkatkan pendidikan keagamaan.

Katanya guru-guru Kafa juga telah mengemukakan cadangan supaya diberi satu skim khusus yang menjamin kerjaya mereka sebagai kakitangan tetap dan tidak lagi sebagai guru kontrak. - BERNAMA

Artikel Lain