suria

Syarikat Telekomunikasi Diminta Timbang Semula Caj Perkhidmatan 6 Peratus - Ismail

KUALA LUMPUR: Syarikat telekomunikasi (telco) diminta mempertimbangkan semula cukai enam peratus terhadap pengguna talian pra-bayar sebelum isu itu dibawa ke Kabinet, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Saya sudah janji bawa perkara ini ke Kabinet tetapi saya harap telco mempertimbangkan dulu sebelum perkara ini dibangkitkan (dalam mesyuarat Kabinet)," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Bank Rakyat di sini, Sabtu.

Pada Jumaat, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata isu itu akan dibawa kepada perbincangan jemaah menteri pada minggu depan sebelum diputuskan sama ada cadangan itu akan diteruskan atau tidak.

Ismail Sabri berkata isu menaiktaraf perkhidmatan telco telah berkali-kali dibangkitkan tetapi ia masih tidak diambil berat malah secara tiba-tiba telco mahu menaikkan bayaran perkhidmatan itu kepada rakyat.

"Saya terima banyak aduan pengguna kata perkhidmatan itu selalu terganggu, 'service' tidak 'upgrade' dah nak naik bayaran, saya juga terima beratus maklumbalas daripada laman facebook saya membantah caj itu," katanya.

Beliau berkata telco perlu bersama aspirasi kerajaan dalam mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat. "Kerajaan sudah perkenalkan pelbagai cara kurangkan beban sara hidup rakyat antaranya kedai 1Malaysia, tetapi tiba-tiba telco pula nak tambah beban, tidak boleh macam itu," katanya.

Mengulas mengenai kenaikan harga ayam standard lebih RM8 sekilogram sekarang daripada RM7.20 pada Hari Raya lepas, beliau berkata 20 barang kawalan pada musim perayaan hanya dikuatkuasakan seminggu sebelum dan seminggu selepas Hari Raya. "Sampai 6 Sept lepas sudah tiada kawalan, harga barangan itu bebas kembali kepada harga pasaran yang ditentukan 'market force' itu sendiri," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain