suria

Pihak Tidak Patuh Perlembagaan Tak Boleh Dianggap Wira Negara - Khoo Kay Kim

IPOH: Mana-mana pihak termasuk individu yang tidak patuh kepada Perlembagaan Negara tidak boleh dianggap wira, kata Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim.

Tokoh sejarah itu berkata, tindakan menyerang balai polis yang merupakan antara lambang kedaulatan negara adalah perbuatan menentang kerajaan yang diketuai oleh Raja-Raja Melayu.

"Perlembagaan merupakan undang-undang tertinggi negara dan sekiranya ada undang-undang lain yang bertentangan dengannya adalah tidak sah... yang serang balai polis dia sebenarnya menentang kerajaan.

"British hanya menjadi pekerja di negara ini, mereka dibayar daripada hasil negara ini," katanya semasa menjadi panel 'Wacana Institut Darul Ridzuan (IDR): Peristiwa Bukit Kepong Siapa Wira Sebenar' di sini, Jumaat.

Turut menjadi panel pada Wacana itu ialah bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Haniff Omar, bekas Ketua Polis Perak, Tan Sri Yuen Yuet Leng dan sejarawan, Profesor Datuk Dr Ramlah Adam dari Universiti Teknologi Mara.

Khoo berkata, sejarah menjelaskan bahawa Parti Komunis Malaya (PKM) mahu mewujudkan orde dunia iaitu orde komunis yang tidak ada negara bangsa dan tiada sempadan politik.

Katanya, sistem pendidikan di sekolah pada masa kini adalah lemah dan ia mengakibatkan timbulnya isu Ahmad Indera atau Mat Indera kerana golongan seperti Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu membaca buku yang ditulis oleh pihak yang tidak memahami dan mengetahui sejarah negara.

"Banyak perkara tidak dijelaskan di sekolah dan disebabkan itu mereka pandai bersandiwara. Sistem pendidikan lemah. Mereka boleh menggunakan konsep dan istilah yang mereka sendiri tidak faham," katanya.

Beliau berkata, undang-undang tidak dibuat untuk menghukum orang sebaliknya adalah supaya wujudnya kebahagiaan maksimum di dalam negara.

"Di sekolah, tidak diberikan penjelasan mengapa undang-undang sangat penting. Sekarang hanya nak cari siapa wira sahaja. Jangan cepat nak bergaduh kerana ia boleh diselesaikan secara 'gentlemen' tapi sekarang budaya sudah berubah dan golongan 'tua' macam saya 'sakit hati'," katanya.

Beliau berkata, sejarah Malaysia sangat kompleks dan sesiapa yang mahu menulis sejarah negara mesti mengetahui dan memahami juga sejarah China, India dan Indonesia.

"Sejarah tidak boleh diubah, nak tulis sejarah bukan senang. Sejarah bukan cerita, orang ingat sejarah ini cerita. Ia adalah berdasarkan fakta," katanya.

Sementara itu, Dr Ramlah berkata fakta sejarah menjelaskan Mat Indera merupakan anggota PKM dan bukan pejuang.

Beliau berkata, di peringkat awal, kehadiran British di Tanah Melayu adalah sebagai pentadbir di bawah kuasa Raja-Raja Melayu.

Bagaimanapun, cubaan British untuk menguasai Tanah Melayu secara total bermula dengan penubuhan Malayan Union 1946 yang menyaksikan kebangkitan orang Melayu kerana tidak boleh menerima kuasa Raja-Raja Melayu dihadkan.

Katanya, pasukan VAT 69 yang memerangi komunis tidak boleh dilabel sebagai pembelot negara kerana mereka inilah yang berkorban nyawa bertarung dengan komunis di hutan dan sempadan negara.

"Mat Indera seorang Melayu dan 'ikan bilis' yang terpengaruh dengan ideologi komunis dan pada masa ini pihak tertentu menggunakan 'Mat Indera' untuk wujudkan satu keadaan tegang dan bingung," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain