suria

Lima Pelajar Terlibat Pergaduhan Ditahan

KANGAR: Lima pelajar sebuah sekolah menengah di sini ditahan polis awal pagi Jumaat kerana terbabit dalam pergaduhan di Bintong dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kangar, Supt Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, dalam pergaduhan kira-kira pukul 12.30 pagi itu, seorang pelajar cedera pada bahagian mata dan badan.

Dalam kejadian itu, mangsa yang berumur 17 tahun dipukul oleh lima pelajar terbabit kerana mendakwa mangsa telah mengambil alat permainan PlayStation 2 milik salah seorang rakan mereka dua hari sebelum kejadian.

Berikutan itu kira-kira sepuluh pelajar bertemu mangsa dan lima daripada mereka memukulnya, katanya kepada Bernama di sini, Sabtu.

Abdul Rahman berkata lima pelajar yang berumur antara 16 dan 17 tahun itu ditahan reman selama empat hari sehingga 12 Sept untuk siasatan.

Dalam perkembangan lain, katanya seorang lelaki warga Amerika Syarikat berusia 48 tahun ditahan polis kerana mencederakan anak gadisnya berusia 14 tahun di rumah bekas isterinya di Taman Guru Jaya dekat sini pada Rabu lepas.

Abdul Rahman berkata, lelaki itu dikatakan berang dengan tindakan anaknya itu yang membocorkan rahsia perkahwinan terbarunya di Thailand kepada bekas isterinya itu.

Remaja perempuan itu yang cedera pada bahagian muka dan telinga menerima rawatan pesakit luar di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), katanya.

Ekoran kejadian itu, bekas isteri lelaki itu yang berkerja di sebuah syarikat swasta di sini membuat laporan polis terhadap lelaki itu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain