suria

Kerajaan Dicadang Wujud Pusat Kajian Sosial

LONDON: Keamanan dan kestabilan yang dikecapi Malaysia sejak mencapai kemerdekaan 54 tahun yang lalu tidak boleh diambil mudah atau dianggap sebagai satu anugerah kepada rakyatnya.

Sehubungan itu, kerajaan dicadang mewujudkan pusat kajian sosial khusus untuk melaksanakan aktiviti Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dalam aspek sosial di Malaysia.

Pengarah Institut Pengajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin berkata daya tahan negara dalam mengekalkan keamanan dan kestabilan selama 54 tahun lalu, perlu dikekalkan.

"Yang penting di Malaysia, kita telah sampai tahap kritikal 54 tahun, kita sudah ada kesepaduan, cuma macam mana kita nak pertahankan daya tahan 54 tahun itu," katanya pada forum bertajuk "Kemerdekaan 54 Tahun, Membina Satu Bangsa, Berkongsi Satu Matlamat".

Forum itu diadakan sebelum sesi dialog Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan komuniti dan pelajar Malaysia di sini pada Jumaat.

Muhyiddin yang ditemani isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, kini dalam rangka lawatan kerja empat hari ke United Kingdom bermula Khamis.

Selain Dr Shamsul Amri, seorang lagi panel ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pengajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia, Datuk Dr Mahani Zainal Abidin manakala Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Datuk Zakaria Sulong bertindak sebagai moderator.

Menurut beliau, kertas kerja penubuhan pusat rujukan nasional itu kini sedang dirangka sebelum diserahkan kepada kerajaan untuk dipertimbangkan.

Kajian yang dibuat dalam bidang-bidang tersebut akan diserahkan kepada kerajaan secara berkala untuk dianalisis, katanya.

Sementara itu, Dr Mahani berkata sejak mengecapi nikmat kemerdekaan, Malaysia mencatat pembangunan yang memberangsangkan dengan menggunakan sumber-sumber yang ada.

Katanya dalam tempoh itu negara juga telah beberapa kali dilanda zaman kemerosotan iaitu pada tahun 1985, 1997 dan 2009 namun keupayaannya untuk bertahan dan bangkit semula, patut dibanggakan.

Jelasnya walaupun menitikberatkan pembangunan infrastruktur negara, pembangunan sosioekonomi juga tidak dilupakan dan ia dilaksanakan secara beriringan oleh kerajaan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain