suria

Kerajaan Bersikap Terbuka Terima Kritikan - Mustapa

KOTA BAHARU: Kerajaan sentiasa bersikap terbuka dan sedia menerima apa saja kritikan demi faedah rakyat, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata kerajaan pasti menuruti cadangan munasabah daripada rakyat kerana akur rakyat adalah kuasa penentu kepada kedudukan kerajaan. "Kita tahu rakyat adalah raja dan penentu sokongan. Kalau kerajaan yang ada tidak mendengar rintihan mereka sudah tentu kita sudah hilang kuasa dan tidak akan diterima mereka. "Hakikatnya kita bertahan sehingga sekarang adalah bukti kita prihatin terhadap apa yang mereka mahu dan sanggup buat apa saja perubahan untuk rakyat," katanya kepada pemberita selepas Sesi Bersama Pemimpin Negara dan Majlis Hari Raya Aidilfitri Bersama Mahasiswa/i Baru Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian di sini, malam Jumaat.

Mustapa berkata kerajaan juga tidak rela memerintah negara ini dengan cara yang tidak baik dan dakwaan konon terdapat penipuan itu adalah tidak benar sama sekali.

Beliau menyifatkan sebagai cerita lama dakwaan dalam portal berita pro pembangkang yang mengatakan sokongan terhadap kerajaan juga merosot. Sementara itu, Mustapa berkata lebih 4,000 peluang pekerjaan telah dapat disediakan selepas tertubuhnya Hospital Universiti Sains Malaysia kira-kira 30 tahun lalu. "Terdapat 4,500 peluang pekerjaan yang ada dan sejak adanya HUSM ini, Kubang Kerian yang dahulunya kawasan sawah padi telah pesat membangun seperti yang ada sekarang," katanya.

Beliau menasihati 500 pelajar baru itu agar menumpukan pelajaran bagi meningkatkan kualiti pembelajaran dan menaikkan nama universiti itu di mata dunia. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain