suria

Gerakan Tawar Biasiswa Untuk Mat Sabu Belajar Sejarah Di Universiti

KUALA LUMPUR: Gerakan bersedia menawarkan biasiswa kepada Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu untuk mempelajari semula sejarah negara di universiti tempatan kerana beliau dilihat masih kurang arif mengenai sejarah negara.

Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata pemimpin parti pembangkang itu boleh dikatakan buta sejarah selepas melabelkan anggota Parti Komunis Malaya Mat Indera sebagai wira sebenar dalam kejadian serangan Balai Polis Bukit Kepong.

"Adalah jelas beliau ini buta sejarah, kalau begini, Gerakan bersedia untuk menawarkan biasiswa kepada beliau supaya belajar semula sejarah di universiti tempatan.

"Selain itu, beliau boleh juga belajar sejarah sebenar negara dari pakar-pakar sejarah yang lain seperti Profesor Dr Khoo Khay Kim," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidil Fitri Gerakan di Menara PGRM pada Sabtu, yang dihadiri kira-kira 2,000 orang.

Koh berkata Mohamad Sabu, atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, perlu peka dengan perjalanan sejarah negara, dan tidak sewenang-wenangnya melabelkan sesuatu mengikut pemahaman sendiri.

"Beliau mesti peka dengan apa yang berlaku dalam sejarah negara, dan jika masih gagal memahaminya, Mat Sabu bolehlah dibawa duduk di hadapan Tugu Negara untuk menghayati sejarah itu," katanya.

Mat Sabu dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lepas, dipetik sebagai berkata pengganas komunis yang membunuh anggota keselamatan dan keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong, adalah hero sebenar dalam perjuangan kemerdekaan negara. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain