suria

The Star Sambut Ulang Tahun ke-40

SELEPAS empat dekad berlalu, pelbagai peristiwa pahit dan manis yang telah dilalui. Namun pengalaman tersebut cukup mendewasakan akhbar berbahasa Inggeris, The Star.

Jika diimbas kembali empat dekad yang lalu, akhbar ini lahir atas usaha yang diterajui oleh sekumpulan kecil wartawan yang mempunyai azam yang kuat dalam bidang penulisan di sebuah kawasan yang cukup sederhana di Weld Quay, Pulau Pinang.

Namun atas usaha gigih mereka maka lahirlah sebuah akhbar tabloid harian di negara ini, The Star.

Biarpun dilihat pelik dalam ideologi dan gaya penampilan pada awal kemunculannya akhbar tabloid ini berjaya membawa angin perubahan di Pulau Pinang.

Ketika itu juga, pekerja dan wartawan akhbar ini terpaksa berjalan meredah ceruk bandar dan desa dengan laungan ‘The Star! The Star! Dapatkan Star Esok Hari Ini, apabila edisi awal akhbar tersebut dikeluarkan pada lewat petang.

Kemunculannya ketika itu juga dilihat membawa angin perubahan yang cukup besar dalam bidang penulisan yang kemas serta kepintaran dalam memilih tajuk-tajuk utama dalam muka depan akhbar berkenaan.

Akhbar tabloid yang baru setahun jagung ketika itu sememangnya digemari oleh golongan muda yang dahagakan akhbar yang punya gaya penyampaian tersendiri serta memenuhi cita rasa para pembaca.

Ia turut menjadi pesaing kepada akhbar sedia ada kerana isi kandungannya yang optimistik, pemaparan cerita mengenai kehidupan manusia, kisah jenayah serta gambar-gambar wanita berpakaian seksi memenuhi helaian akhbar tabloid ini ketika itu.

Bukan itu sahaja, wartawan dan jurugambar lelaki turut ditugaskan mencari serta merakamkan gambar wanita seksi di tepi pantai. Bagaimanapun, selepas tahun 1975, gambar sedemikian tidak lagi dibenarkan.

Kementerian Dalam Negeri dengan persetujuan pengarang-pengarang akhbar memutuskan untuk mematuhi satu garis panduan supaya memenuhi standard moral dalam setiap penerbitan akhbar masing-masing.

Tidak mengetepikan golongan wanita, kumpulan The Star sentiasa adil dalam memberikan peluang pekerjaan yang sama rata terhadap golongan hawa.

Sejak awal penubuhannya lagi, peratusan pekerja lelaki dan wanita di syarikat akhbar ini dilihat seimbang.

Golongan wanita lebih banyak dalam bidang penulisan sementara lelaki lebih ramai ditempatkan di bidang percetakan dan fotografi.

Selepas beberapa tahun berlalu, The Star sememangnya sebuah syarikat yang sangat mementingkan kebajikan pekerjanya. Pekerja-pekerja yang berdedikasi ketika era awal penubuhannya menjadikan pejabat sebagai rumah kedua mereka hingga ada yang bertemu jodoh di tempat kerja.

Hari ini, anak pasangan yang bertemu jodoh satu ketika dahulu turut menimba pengalaman serta diterima bekerja di The Star sekaligus membuktikan ia bukan sekadar tempat kerja malah syurga kediaman bagi banyak pihak.

Dalam meniti perjalanannya, The Star pernah mendedahkan kegagalan projek Pelabuhan Kuantan pada 1979 dan skandal Syarikat Kewangan Bumiputera Malaysia (BMF) di Hong Kong pada 1983.

Apabila The Star berpindah daripada Jalan Travers ke Petaling Jaya pada 1981, zaman kegemilangan menggunakan mesin taip dan telegraf turut berakhir.

Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad telah dijemput untuk merasmikan pejabat baru itu dan era baru penggunaan komputer juga bermula.

Ia sekali gus membawa arus perubahan bukan sahaja kepada negara malah bidang penerbitan akhbar.

Di pejabat akhbar ini, penggunaan mesin taip dan telegraf sudah tidak lagi kelihatan semuanya digantikan dengan penggunaan komputer.

Hari ini, The Star bukan hanya membekalkan akhbar yang memuatkan berita yang telah berlaku semalam malah ia turut menyediakan bahan multimedia bagi memenuhi keperluan pelbagai lapisan masyarakat yang mahukan perkembangan terkini apa yang berlaku dengan penggunaan teknologi maklumat.

Media baru yang wujud membolehkan maklumat dan berita diakses di mana-mana sahaja. Penggunaan laman web sosial seperti Facebook, Twitter dan iPad menjadikan kita sentiasa ke hadapan dalam mengetahui apa yang berlaku di seluruh dunia.

Biarpun perubahan teknologi berlaku, The Star tidak pernah mengetepikan matlamat utama penubuhannya 40 tahun yang lalu, iaitu mahu menjadi pengamal media yang menjuarai isu semasa dan sumber rujukan utama serta menjadi syarikat korporat yang bertanggungjawab kepada rakyat di negara ini.

Dengan sambutan ulang tahun ke-40 The Star akan membawa para pembacanya menyusuri kisah suka duka serta gambar yang pernah disiarkan dalam isu-isu yang terdahulu.

Dalam tempoh 40 hari ini, pembaca juga boleh berkongsi sejarah dan kisah hidup mereka yang pernah menjadi sebahagian daripada akhbar ini.

Artikel Sebelum

Artikel Lain