suria

Rumah Perlindungan Banduan Di Kota Kinabalu Beroperasi Oktober Ini

KOTA KINABALU: Rumah perlindungan bagi banduan diberikan parol yang tidak mempunyai tempat tinggal selepas dibebaskan akan beroperasi bulan depan, kata Pengarah Penjara Sabah Suria Idris.

Sebuah rumah berhampiran Penjara Kota Kinabalu di Kepayan sedang diubah suai bagi menempatkan 16 banduan lelaki yang diberikan parol pada satu-satu masa dan mereka dibenarkan tinggal sehingga tiga bulan, katanya.

"Kami juga sedang mendapatkan seorang penyelia untuk rumah berkenaan. Kemungkinannya seorang pegawai penjara yang sudah bersara.

"Kami telah memaklumkan kepada penduduk di kawasan berkenaan mengenai rumah perlindungan itu," katanya kepada pemberita selepas majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Jabatan Penjara Sabah di sini, Jumaat.

Suria berkata banduan yang akan dibebaskan sebelum habis tempoh menjalani hukuman penjara di bawah penyeliaan parol boleh memohon untuk tinggal di rumah perlindungan itu, seterusnya dapat membantu mereka menyesuaikan diri dengan kehidupan di luar penjara.

Sementara itu, Ketua Penjara Kota Kinabalu Abdul Halim Ma-Hassan berkata beberapa program dilaksanakan bagi membantu menyediakan para banduan dengan kemahiran yang membolehkan mereka mencari rezeki selepas bebas daripada menjalani hukuman.

Selain menyediakan latihan kraftangan, beliau berkata banduan juga diajar dan diberikan latihan penternakan ikan dengan kerjasama Jabatan Perikanan negeri.

Abdul Halim berkata bermula bulan lepas, 15 banduan mengikuti latihan menternak ikan sembilang yang mendapat permintaan tinggi di Sabah. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain