suria

Pengurus Didenda RM16,000 Kerana Simpan Bahan Buangan Terjadual Tanpa Lesen

SHAH ALAM: Seorang pengurus pada Jumaat, diarahkan membayar RM16,000 atau berhadapan dengan hukuman penjara enam bulan, selepas mengaku bersalah atas tuduhan menyimpan bahan buangan terjadual tanpa lesen yang sah.

Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Latifah Mohd Tahar menjatuhkan hukuman itu terhadap Lim Lee Guan, 50, yang didakwa melakukan kesalahan itu semasa menjadi pengurus syarikat pemprosesan bahan kitar semula, Attractive Frontiers Sdn Bhd.

Dia didakwa menyimpan bahan buangan terjadual enapcemar cat yang mengandungi satu atau beberapa logam kromium, aluminium, nikel dan plumbum yang disenaraikan di dalam jadual pertama, Peraturan-Peraturan Alam Sekeliling (Bungan Terjadual) 2005.

Selain itu, dia juga didakwa menyimpan cat atau pigmen yang terbuang atau yang tidak mengikut spesifikasi yang mengandungi bahan pelarut yang turut disenaraikan dalam jadual terbabit tanpa lesen daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada pukul 10.30 pagi, 15 September 2009 di sebuah kilang yang dijadikan gudang untuk menyimpan dan memproses bahan cat di Lot 4-6, Jalan Pahat 16/8A, Seksyen 16, di sini.

Bagi kesalahan itu, Lim didakwa mengikut Seksyen 18(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dibaca bersama Seksyen 43(1) akta sama yang boleh dihukum mengikut Seksyen 18(3) akta yang sama.

Sesyen tersebut memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu peguam S. Saravanan yang mewakili Lim merayu agar mahkamah menjatuhkan hukuman yang ringan kepada anak guamnya yang mengalami kerugian apabila syarikat tersebut ditutup selepas serbuan yang dilakukan oleh JAS.

"Saya difahamkan bahawa Lim hanya baru enam bulan bekerja di syarikat itu yang menjalankan operasi membeli semula cat dan dibungkus untuk dijual.

"Apabila serbuan dilakukan, ia telah membawa kepada pendakwaan di mahkamah menyebabkan anak guam saya mengalami kerugian," katanya.

Tambah Saravanan, Lim yang mempunyai empat orang anak juga telah insaf dan kesal dengan kesalahan yang dilakukan.

Pegawai Pendakwa dari JAS, Rojiah Abu Bakar memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal ekoran serbuan yang dilakukan adalah berpunca daripada aduan orang awam yang tidak tahan dengan bau busuk di premis terbabit.

"Kami mendapat aduan pada tahun 2008 tetapi serbuan hanya dapat dilakukan setahun kemudian dengan kerjasama daripada pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan polis kerana premis dikunci," katanya.

Rojiah juga memohon mahkamah mengambil kira bahawa serbuan yang dilakukan turut menjumpai 1,652 tong drum bersaiz 200 kilogram dan 440 jumbo bag yang berisi pelarut, bahan pepejal dan cat terpakai.

Lim yang kini bekerja di sebuah syarikat lain menjelaskan denda seperti yang diarahkan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain