suria

Pembangkang Bentang Bajet Alternatif 4 Oktober

PETALING JAYA: Pembangkang akan mengemukakan bajet alternatif Pakatan Rakyat tiga hari sebelum perbantangan Bajet 2012 yang akan dibentangkan pada 7 Oktober depan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Ahli Parlimen PAS Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, perbentangan bajet alternatif berkenaan bagi membolehkan kerajaan dan rakyat menilai serta membuat perbandingan mengenai tawaran yang dijanjikan pembangkang.

"Kita akan bentang lebih awal iaitu pada 4 Oktober untuk beri peluang kepada media dan semua pihak bincangkannya sebelum Bajet 2012 dibentangkan oleh Perdana Menteri," katanya pada sidang media bersama di Pejabat Pakatan Rakyat di sini, Jumaat.

Turut sama Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera, Liew Chin Tong.

Selain itu menurut Dzulkefly Jawatankuasa Bajet Alternatif Pakatan Rakyat turut mencadangkan agar kerajaan memperhalusi proses perbahasan bajet sebelum diluluskan.

Menurutnya, Pakatan Rakyat mencadangkan penubuhan tujuh jawatankuasa yang dianggotai oleh wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dan pembangkang untuk membahaskan mengenai peruntukan bajet bagi setiap kementerian.

"Buat permulaan kita mahu bentuk tujuh jawatankuasa. Kita mahu amalan perbahasan di Parlimen Malaysia menyerupai negara maju.

"Perbahasan di peringkat jawatankuasa akan memberi ruang yang lebih kepada setiap ahli Parlimen memperhalusi bajet yang dibentangkang," katanya.

Tujuh jawatankuasa berkenaan meliputi bidang nasional dan perhubungan antarabangsa; ekonomi dan kewangan; keselamatan; pendidikan, bakat dan tenaga kerja; pertanian dan pembangunan kawasan; infrastruktur, pengurusan sumber dan alam sekitar serta kesejahteraan komuniti.

Artikel Sebelum

Artikel Lain