suria

Pembangkang Bantah Cukai 6 Peratus Prabayar

PETALING JAYA: Pakatan Rakyat pada Khamis membantah pengenalan enam peratus cukai perkhidmatan bagi pembelian tambah nilai prabayar bagi semua syarikat telekomunikasi.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua menggesa kerajaan mengkaji semula pengenalan caj berkenaan kerana ia membebankan pengguna terutama di kalangan masyarakat berpendapatan rendah.

"Kita bantah pengenalan cukai ini. Kadar enam peratus sebenarnya banyak dan membebankan pengguna.

"Pengenalan dasar ini dibuat pada masa yang tidak sesuai memandangkan pengguna kad prabayar adalah orang-orang yang kebanyakannya kurang berkemampuan dan juga dari golongan muda yang berpendapatan rendah," katanya pada sidang media Pakatan Rakyat di sini, Jumaat.

Beliau mengulas kenyataan bersama yang dikeluarkan syarikat-syarikat telekomunikasi berhubung pengenalan cukai enam peratus itu termasuk pek atau kad SIM prabayar yang berkuatkuasa 15 September ini.

Dengan cukai tersebut, pelanggan yang membeli kad prabayar bernilai RM10 perlu membayar RM10.60.

Sebelum ini, syarikat telekomunikasi telah menyerap cukai itu dalam perkhidmatan prabayar mudah alih sejak ia diperkenalkan pada 1998.

Langkah itu diambil untuk memastikan perkhidmatan prabayar kekal kompetitif berbanding pascabayar memandangkan kadar prabayar lebih tinggi untuk membuat panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS).

Bagaimanapun mengulas mengenai alasan berkenaan Chua berkata, syarikat telekomunikasi sebenarnya mendapat keuntungan awal daripada pengguna kad prabayar.

"Syarikat telekomunikasi sudah untung banyak, jadi dengan dasar baru ini akan beri keuntungan yang lebih besar kepada mereka.

"Pengguna prabayar terlebih dahulu dicaj apabila mereka membeli kad prabayar sebelum perkhidmatan digunakan.

"Malah dengan pelbagai syarat, adakalanya pengguna tidak sempat menghabiskan nilai kad prabayar yang mereka beli," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain