suria

Lima Warga Asing Didenda RM900

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, menjatuhkan hukuman denda RM900 terhadap lima wanita warga asing yang didakwa melanggar pas lawatan dan pas pelajar dengan bekerja sebagai tukang urut.

Majistret Zulyana Zolkapli juga memerintahkan agar Yang Menglin, 35, dan Fong Lijuan, 31, dan Mu Jin Xia, 25, dari China serta dua warga Thailand, Wilawan Sue Pheng, 21, dan Kenika Khumsik, 38, dipenjarakan sebulan, jika gagal membayar denda tersebut.

Yang dan Fong didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 10.50 malam, 24 Ogos lalu di Eastern Touch Health Care, 27-1, Blok A, Platinum Walk, Danau Kota, Setapak di sini.

Manakala bakinya pula didakwa melakukan kesalahan sama pada waktu dan hari yang sama di Sawadicup Enterprise, Blok A-21-1, Platinum Walk, Danau Kota, Setapak.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Peraturan 11(7) Peraturan-Peraturan Imigresen 1959/63 yang membawa hukuman denda sehingga RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya.

Di mahkamah sama, seorang warga tempatan, K, Nagentheran, 24, didenda RM1,800 atau tiga bulan penjara selepas mengaku bersalah menjalankan premis mengurut tanpa lesen.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada hari yang sama di Eastern Touch Health Care dan pendakwaan dikendalikan mengikut mengikut Seksyen 3 Undang-Undang Kecil Establismen Kecantikan dan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2002.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman denda sehingga RM200,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh dikenakan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor Nom Phot Prakdit manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam. Semua mereka menjelaskan denda.

Artikel Sebelum

Artikel Lain