suria

Kenaikan Caj Perkhidmatan Kad Prabayar Tidak Munasabah, Bebankan Pengguna - KJ

PETALING JAYA: Pemimpin politik Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada Jumaat membantah tindakan syarikat telekomunikasi mengenakan caj perkhidmatan enam peratus bagi pembelian tambah nilai perkhidmatan prabayar dan pek permulaan kad SIM mulai 15 September ini.

Ketua Pemuda Barisan Nasional Khairy Jamaluddin berkata, keputusan mengenakan caj itu tidak munasabah dan mahu kerajaan membatalkan pendekatan tersebut.

Dalam mesej yang dipanjangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menerusi Twitter, Khairy yang juga Ketua Pemuda Umno berkata: "Saya bantah."

"Cukai kepada pengguna prabayar satu keputusan yang tidak munasabah dan membebankan rakyat. Saya bantah. Pohon dibatalkan,” katanya.

Pendirian yang sama turut dinyatakan oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mempersoalkan kewajaran tindakan tersebut.

“Adakah wajar mengenakan caj enam peratus untuk setiap pembelian kad tambah nilai?” kata Mursyidul Am PAS, juga menerusi Twitter beliau.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin pula mendesak kerajaan dan syarikat-syarikat telekomunikasi yang terlibat supaya mengkaji semula serta membatalkan keputusan tersebut kerana mendakwa ia membebankan golongan berpendapatan rendah.

"Justeru, AMK dengan ini mendesak pihak kerajaan supaya mengkaji dan membatalkan semula keputusan ini dengan mengambil kira jumlah keuntungan yang dicatatkan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam perkembangan yang sama, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) turut menyatakan bantahan terhadap keputusan menaikkan caj perkhidmatan enam peratus itu.

"AMM amat memandang serius dalam isu caj yang akan dikenakan ini, menunjukkan kerajaan tidak peka terhadap pengguna prabayar yang begitu ramai penggunanya.

"Kerajaan juga harus sedar, para pengguna prabayar ini bukanlah mereka daripada golongan yang mampu,” kata Pengarah Seketeriat SAMM Zulkifli Ibrahim.

Pada Khamis, syarikat telekomunikasi Malaysia mengumumkan kenaikan cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus bagi pembeliaan tambah nilai prabayar dan permulaan prabyar/pek sim bagi semua syarikat telekomunikasi bermula 15 September ini.

Pelanggan prabayar akan dimaklumkan melalui SMS bermula tengah hari Khamis mengenai cukai perkhidmatan itu, demikian menurut industri syarikat telekomunikasi Malaysia dalam kenyataan bersama di sini Khamis.

Para pelanggan juga boleh merujuk kepada laman web syarikat telekomunikasi masing-masing untuk maklumat atau menghubungi pusat perkhidmatan pelanggan sekiranya mereka mempunyai pertanyaan lanjut.

Artikel Sebelum

Artikel Lain