suria

Kematian Anak: Mualaf Mahu Saman MPPD

SUBANG: Seorang mualaf yang kehilangan anak sulung pada malam hari raya Aidilfitri lalu, berhasrat mengambil tindakan undang-undang terhadap Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) yang didakwa cuai untuk memastikan keselamatan pengunjung di pantai peranginan tersebut.

Mohd Arif Yap Abdullah, 49, berkata saman itu akan difailkan ekoran kematian Nur Zahirah, dua tahun, yang ditemui lemas pada kira-kira pukul 8 malam, 30 Ogos lalu selepas terjatuh ke dalam lubang sedalam hampir dua meter di tempat letak kereta di Pantai Batu 10, Teluk Kemang, di situ.

Mayat kanak-kanak tersebut dijumpai di persisiran pantai kira-kira 100 meter daripada lubang tersebut dan dikebumikan di Felda Palong, Negeri Sembilan.

Pada sidang media yang diadakan di sini pada Jumaat, Mohd Arif yang memeluk Islam sejak 18 tahun lalu berkata, dia telah melantik peguam Boestamam Ahmad untuk mewakili dirinya dalam memfailkan saman yang akan dilakukan di Mahkamah Seremban, Negeri Sembilan dalam masa terdekat.

"Tindakan saman itu bukan kerana wang ringgit tetapi untuk memberi pengajaran kepada MPPD agar mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk keselamatan pengunjung daripada lubang perangkap maut itu," tambahnya.

Dia yang bekerja sebagai tukang kasut juga memberitahu, tiada sebarang tanda diletakkan untuk memberi amaran kepada pengunjung mengenai lubang terbabit yang sukar dilihat dalam keadaan gelap.

Selain itu, Mohd Arif Yap juga berharap tindakan saman tersebut dapat mengelakkan kejadian serupa yang menimpanya dan isteri, Hamizah Ibrahim, 36, berlaku kepada individu lain.

Mengulas mengenai kejadian itu, Mohd Arif Yap berkata, semasa itu mereka sekeluarga berhenti untuk solat Maghrib di pantai itu. Nur Zahirah pada awalnya solat bersama di sebelahnya tiba-tiba keluar bermain dengan kanak-kanak lain yang berada di pantai itu sebelum hilang.

Dia dan bersama beberapa orang lain berusaha mencari Nur Zahirah dan pihak bomba serta polis juga turut menjalankan operasi pencarian selepas dimaklumkan oleh orang awam di situ.

Mohd Arif Yap juga mendakwa, dia telah membuka bajunya untuk mencari Nur Zahirah di dalam lubang terbabit, tetapi dihalang oleh dua lelaki yang bimbang dengan keselamatannya.

Tambahnya, meskipun redha dengan kehilangan Nur Zahirah, dia masih berada dalam keadaan sedih dan tidak dapat menumpukan perhatian kepada kerja menyebabkan dia masih tidak membuka perniagaan membaiki kasut yang dijalankannya secara kecil-kecilan.

"Sebagai seorang ayah, saya sangat sedih kerana anak yang paling saya sayangi sudah tiada," katanya dalam nada yang teresak-esak. Dia mempunyai seorang lagi anak lelaki, Kamarul Arifin yang berusia setahun.

Dia juga memberitahu, telah membuat laporan polis pada 3 September lalu di Balai Polis Gemas, Negeri Sembilan berhubung kenyataan yang dikeluarkan oleh Yang DiPertua MPPD, Abdul Wahab Shamsuddin di sebuah akhbar tabloid pada tarikh sama.

Abdul Wahab semasa itu berkata, pihaknya telah menggantikan penutup lubang itu sebanyak dua kali, namun dicuri oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Beliau yang melahirkan rasa simpati kepada keluarga Mohd Arif Yap juga menasihati pengunjung untuk berhati-hati dan menambah, masyarakat setempat perlu peka dengan permasalahan vandalisme yang giat berlaku.

Artikel Sebelum

Artikel Lain