suria

Usah Keliru Tarikh Kemerdekaan: Yahya

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Yahya Hussin menasihati penduduk Sabah agar jangan mengelirukan diri sendiri mengenai tarikh sebenar untuk meraikan kemerdekaan mereka sebagai rakyat Malaysia.

Beliau berkata mereka yang terus mempertikaikan sama ada kemerdekaan Malaysia sebenarnya disambut pada 31 Ogos atau 16 Sept adalah mementingkan diri sendiri.

"Telah dipersetujui oleh nenek moyang kita bahawa 31 ogos ialah hari sambutan kemerdekaan daripada penjajah British dan 16 Sept ialah bila kita sambut penubuhan Malaysia. Cukuplah itu," katanya pada persidangan akhbar mengenai perayaan Hari kebangsaan peringkat negeri di sini Khamis.

Yahya yang juga pengerusi penganjur perayaan berkata sebuah negara besar seperti Amerika Syarikat mengambil masa ratusan tahun untuk mewujudkan sebuah negara, tetapi mengisytiharkan hanya satu tarikh bsgi meraikan kemerdekaannya daripada United Kingdom, manakala rakyat Malaysia mempunyai keistimewaan dengan adanya dua tarikh bersejarah sebagai cuti umum.

Beliau berkata Sabah menyambut Hari Kebangsaan tahun ini, yang jatuh pada Hari Raya Aidilfitri, serentak pada hari Malaysia dengan perarakan 170 kontinjen di Dataran Bandaraya di sini bermula pada pukul 6.30 pagi.

Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman dan menteri kabient persekutuan dan negeri dijangka hadir pada hari sambutan ini.

Sebagai memperingati Hari Malaysia, Yahya berkata Malam Malaysia atau Malaysia Night akan diadakan di Padang Merdeka di sini yang bermula pukul 7 malam dengan perarakan Jalur Gemilang, upacara menaikkan bendera, persembahan kebudayaan, pertunjukan bunga api dan hiburan oleh artis tempatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain