suria

Sindiket Pengedaran Dadah Terbesar Di Terengganu Tumpas

KUALA TERENGGANU: Polis percaya telah melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah terbesar di Terengganu, menerusi penangkapan seorang lelaki di kawasan tempat letak kereta sebuah pasar raya, di sini kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri Supt Roslan Abd Wahid berkata polis turut merampas dadah jenis heroin dan pil kuda dengan nilai keseluruhan RM178,250 daripada lelaki terbabit.

Lelaki berusia 26 tahun itu ditangkap di dalam keretanya di tempat parkir pasar raya di Jalan Sultan Muhammad tersebut pada 5.22 petang hasil maklumat awam, katanya pada sidang media, di sini, Khamis.

"Dengan tertangkapnya suspek ini kita percaya dapat melumpuhkan sindiket pengedaran dadah terbesar di Terengganu pada tahun ini yang aktif menjalankan pengedaran di daerah Kuala Terengganu dan Marang sejak setahun lalu," katanya.

Mengulas lanjut, Roslan berkata polis menemui dadah jenis heroin seberat 21 gram bernilai kira-kira RM5,000 yang disembunyikan dalam kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu suspek.

Hasil siasatan lanjut, polis kemudian menyerbu rumah lelaki itu dan menemui 6,930 biji pil kuda bernilai RM173,250 yang disorokkan dalam sebuah bilik di rumah terbabit.

Polis turut merampas wang tunai berjumlah RM30,670 yang dipercayai hasil jualan dadah dan menyita sebuah motosikal jenis Yahama RXZ bernilai RM3,000, katanya.

Roslan berkata pihaknya telah mengenal pasti kesemua anggota sindiket itu dan sedang menjejaki mereka.

Suspek yang tidak mempunyai pekerjaan tetap kini ditahan reman sehingga 12 Sept bagi siasatan lanjut mengikut Ssyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain