suria

Polis Terengganu Bongkar Taktik Pengedaran Dadah Di Rumah

KUALA TERENGGANU: Taktik seorang lelaki yang menjadikan rumah kawannya sebagai tempat pengedaran dadah akhirnya terbongkar setelah polis menyerbu kediaman tersebut awal pagi semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 1.22 pagi di sebuah pangsapuri di Kampung Ladang Gemilang itu, polis menemui 2,620 biji pil kuda yang dianggar bernilai RM65,500 dan wang tunai RM61,550 yang dipercayai hasil jualan dadah.

"Kita berjaya menemui pil berkenaan yang disorokkan di dalam pembesar suara di salah sebuah bilik di rumah itu," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri Supt Roslan Abd Wahid pada sidang akhbar di sini, Khamis.

Ketika serbuan itu dilakukan, katanya lelaki itu dan rakannya serta isteri dan anak perempuan rakannya itu yang berumur 10 tahun berada di rumah dan ditahan polis.

Katanya suspek yang berusia 34 tahun menjadikan rumah berkenaan sebagai tempat pengedaran, manakala rakannya yang berumur 35 tahun yang merupakan pemilik rumah itu menjadi orang suruhannya bagi manghantar bekalan dadah di sekitar Kuala Berang.

Roslan berkata suspek yang bekerja sebagai buruh dipercayai menjalankan aktiviti pengedaran dadah sejak awal tahun lalu.

Ketiga-tiga suspek kini ditahan reman sehingga 12 Sept bagi siasatan mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

Kanak-kanak perempuan tersebut akan diserahkan kepada keluaga terdekat, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain