suria

M'sia Sertai Protokol Pilihan UNCRC, Rang Undang-undang Dibentang Tahun Depan

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pada Selasa mengumumkan Kabinet telah bersetuju dengan cadangan kementerian untuk menyertai dua Protokol Pilihan dalam perjanjian tambahan Konvensyen Hak Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCRC) yang melindungi hak kanak-kanak.

Cadangan penyertaan dalam kedua-dua Protokol Pilihan ini menunjukkan pengukuhan kerajaan dalam memberi perlindungan kepada kanak-kanak daripada eksploitasi seksual dan pemerdagangan kanak-kanak dan juga memberi perlindungan daripada melibatkan diri dalam konflik senjata.

"Kami akan bekerjasama dengan agensi-agensi dan kementerian lain seperti Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pelajaran untuk menentukan beberapa isu seperti eksploitasi kanak-kanak ditangani sebaik mungkin.

"Kita juga akan bekerjasama untuk mengolah beberapa program bagi membuktikan Malaysia mengambil berat isu-isu eksploitasi kanak-kanak ini," katanya yang ditemui pada pelancaran laporan Unicef 2011 The State of the World's Children (SOWC) di Pasar Seni di sini, Khamis.

Cadangan tersebut yang disertakan dengan isu-isu berkaitan kanak-kanak akan dibentangkan di Parlimen pada tahun depan untuk penggubalan akta hak dan perlindungan kanak-kanak.

Tambahnya, kerajaan sangat komited dan mengambil serius isu eksploitasi kanak-kanak.

"Jika tiada usaha untuk mengawal isu ini ia akan menjadi satu penyakit sosial yang serius.

"Kita tidak akan membenarkan Malaysia menjadi negara hos atau negara transit untuk proses pemerdagangan dan eksploitasi kanak-kanak," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain