suria

Mercy Malaysia Perlu RM3 Juta Teruskan Misi Kedua Bantuan Kemanusiaan Somalia

KUALA LUMPUR: Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) memerlukan dana sebanyak RM3 juta bagi meneruskan misi kedua bantuan kemanusiaan ke atas kira-kira setengah juta mangsa pelarian (IDP) di Mogadishu, Somalia.

Menurut Presiden Mercy Malaysia, Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus, misi kedua yang masih belum diputuskan lagi tarikhnya itu mensasarkan beberapa objektif yang meliputi tempoh jangka pendek dan panjang.

Objektif jangka pendek misi yang merangkumi tempoh bantuan selama enam bulan itu termasuklah pengagihan makanan dengan kerjasama Muslim Aid, program pemakanan terapeutik pada tiga lokasi berbeza di pusat Kesihatan Ibu dan Anak (MCH) di bahagian selatan negara itu, klinik bergerak di kem-kem IDP di Mogadishu dan program psikososial.

Misi jangka panjang pula meliputi proses pemulihan pusat MCH, program pemakanan terapeutik bersama organisasi tempatan dan program promosi kebersihan (hygiene promotion) kepada mangsa-mangsa kebuluran.

“Kita memerlukan RM600 ribu untuk melaksanakan empat objektif misi jangka pendek itu.

“Untuk misi jangka panjang bagi tempoh setahun kita memerlukan sekurang-kurangnya RM2 juta bagi menampung kos secara minima atau sebaik-baiknya RM3 juta bagi pelaksanaan bantuan secara optimum,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Mercy di Kompleks Dayabumi di sini, Rabu.

Misi pertama yang bermula 25 Ogos hingga 10 September itu diketuai Naib Presiden 1 Mercy Malaysia, Dr Mohamed Ikram Mohamed Salleh bersama Ketua Operasi Bantuan Hew Cheong Yew dan sukarelawan tempatan yang juga pelajar berusia 27 tahun dari Somalia, Yasir Mohamed Ahmed-Baffo.

Jika pada misi pertama, Mercy Malaysia memberikan bantuan kepada 600 keluarga di kem-kem IDP di Mogadishu, misi kedua pula mereka mensasarkan untuk membantu kira-kira seribu keluarga.

Apabila ditanya adakah Mercy menetapkan tarikh sasaran untuk memulakan misi kedua itu, Dr Mohamed Ikram berkata, pihaknya sedang berbincang dan belum memutuskan tarikh tertentu berikutan tragedi kematian jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd Nor ketika membuat liputan misi kemanusiaan di Somalia bersama Kelab Putera 1Malaysia, baru-baru ini.

“Buat masa ini kita masih berbincang dan belum memutuskan tarikh untuk memulakan misi kemanusiaan kedua selepas tragedi yang berlaku baru-baru ini.

“Aspek keselamatan menjadi pertimbangan utama sebelum memulakan misi berikutnya. Berkemungkinan, kita akan pergi dalam tahun ini juga,” kata Dr Mohamed Ikram yang ditemui sejurus sidang media itu.

Krisis kemanusiaan di Somalia semakin meruncing apabila 1.46 juta rakyat kehilangan tempat tinggal dan berpindah-randah (IDP) ekoran masalah kebuluran dan wabak penyakit yang kronik.

370,000 mangsa ditempatkan di kem-kem Mogadishu dan lebih 100,000 lagi mangsa dilaporkan telah berpindah-randah dalam tempoh dua bulan terakhir ini.

Pergolakan itu memaksa pentadbiran kerajaan sementara di bawah Kerajaan Persekutuan Transisi (TFG) untuk mengisytiharkan darurat pada 13 Ogos lalu di ibu kota negara itu termasuk kem-kem IDP bagi menjamin keselamatan mangsa-mangsa pelarian.

Status itu akan berkuatkuasa untuk tempoh tiga bulan bermula dari tarikh pengisytiharannya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain