suria

Empat Lelaki Dipercayai Terlibat Kes Curi Lori Di Sandakan Ditahan

LAHAD DATU: Polis menahan empat lelaki berusia lingkungan 30-an dan 40-an yang dipercayai terlibat dalam kes curi lori di Sandakan.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Superintendan Shamsudin Mat berkata seorang suspek ditahan kira-kira 7.45 pagi tadi di Public Villa, manakala tiga lagi di Jalan Tengah Nipah.

Beliau berkata sebelum itu, polis yang menerima maklumat daripada orang awam mengenai kehadiran sebuah lori dalam keadaan mencurigakan di Public Villa, menghantar sepasukan anggota dari bahagian jenayah serta peronda untuk melakukan siasatan.

Shamsudin berkata, selepas mengintip selama sejam, polis melihat seorang lelaki yang menaiki sebuah kereta tiba di kawasan itu dan menghampiri lori berkenaan.

“Sebaik melihat kehadiran lelaki itu, pasukan kita yang berada di lokasi berkenaan terus bertindak menahannya. Suspek terbabit kemudian membawa kepada penangkapan tiga lagi lelaki lain yang dipercayai ada kaitan dengan kes tersebut,”katanya kepada pemberita, Khamis.

Beliau berkata, semakan mendapati lori itu dilaporkan hilang di Sandakan, dan laporan mengenainya dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah berkenaan pada 6.30 pagi tadi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain