suria

Dr Rani Kecewa JAIS Tak Beri Sebab Kenapa Tauliah Ceramahnya Tidak Diperbaharui

PETALING JAYA: Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman pada Rabu berkata, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tidak memberikan sebab atau alasan mengapa mereka enggan memperbaharui sijil tauliah agama yang dikeluarkan kepadanya sebelum ini.

Bagaimanapun Dr Rani menegaskan, beliau akan tetap memberikan ceramah dan tazkirah agama di sekitar masjid dan surau di Selangor walaupun sijil tauliahnya tidak diperbaharui oleh JAIS.

"Saya sedia berdepan dengan apa-apa tindakan daripada JAIS. Saya akan tetap sampaikan tazkirah, kuliah subuh dan khutbah kepada kariah masjid dan surau di Selangor," ujarnya lagi.

Abdul Rani mendakwa bukan beliau sahaja yang tidak diperbaharui tauliah malah terdapat beberapa pemimpin PAS di negeri itu turut ditarik balik tauliah mereka.

Namun beliau tidak mempunyai jumlah sebenar senarai pemimpin yang dimaksudkannya itu.

"Saya terima surat daripada JAIS lebih kurang sebulan yang lalu. Dalam surat yang dihantar itu, mereka (JAIS) tidak memaklumkan sebab sijil tauliah tersebut ditarik balik.

"Sebab itu saya tertanya-tanya punca tauliah saya ditarik balik. Saya bercadang untuk jumpa dengan JAIS dalam tempoh terdekat, cuma masanya belum ditetapkan lagi,” katanya kepada mStar Online pada Rabu.

Abdul Rani berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan JAIS tidak memperbaharui sijil tauliahnya untuk mengajar agama di Selangor.

Selain beliau, JAIS akan turut mendakwa Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Samad di Mahkamah Klang pada 24 November ini atas kesalahan menyampaikan ceramah tanpa tauliah di surau Taman Seri Sementa, Kapar, Klang pada 16 Ogos lalu.

Di bawah Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor, setiap individu yang mahu menyampaikan ceramah atau tazkirah agama di mana-mana surau atau masjid di negeri itu perlu mendapatkan sijil tauliah daripada JAIS.

Jika sabit kesalahan mereka boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Abdul Rani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Meru berkata, bahang pilihan raya umum ke-13 mungkin menjadi punca sijil tauliah beliau tidak diperbaharui.

"Mereka (JAIS) takut, PAS sudah makin dekat dengan hati rakyat, sebab itu mereka cuba sekat pendekatan kita beri ceramah agama kepada rakyat.

"Sedangkan ceramah saya tidak pernah sentuh tentang isu politik, ceramah dan tazkirah saya hanya berkisarkan agama Islam semata-mata.

"Tindakan menyampaikan tazkirah dan ceramah adalah kewajipan kita sebagai seorang muslim. Tindakan JAIS menarik balik sijil tauliah ini tidak akan mampu menyekat saya,” katanya.

Abdul Rani menambah, perkara tersebut akan turut dibincangkan dalam mesyuarat bulanan badan perhubungan PAS negeri hujung minggu ini.

"Tindakan selanjutnya kita akan umum pada sidang media selepas kita adakan mesyuarat bulanan badan perhubungan negeri.

Jelasnya, perkara seumpama itu adalah kali pertama berlaku kepadanya selepas sijil tauliah diberikan oleh JAIS pada tahun lalu.

"Selepas sijil tauliah tamat bulan Ramadan yang lalu, saya telah hantar surat untuk memperbaharuinya kepada JAIS.

"Namun saya terkejut, apabila mereka membatalkan terus tauliah agama yang diberikan. Saya akan tuntut penjelasan daripada JAIS dalam hal ini dengan segera. Ini kerana saya ingin tahu punca sebenar kenapa tauliah saya ditarik balik sijil tauliah ini," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain