suria

Bidang Kerja Lebih 22 Peratus Pati Berdaftar Dengan Program 6P Jadi Tanda Tanya

PUTRAJAYA: Lebih 22 peratus daripada 1.3 juta pendatang asing tanpa izin (Pati) yang berdaftar dengan Progam 6P tidak dikenal pasti di manakah punca atau bidang kerjanya, kata Setiausaha Bahagian Imigresen Kementerian Dalam Negeri, Datuk Zaitun Ab Samad.

"Apakah mereka buat (di negara ini)? Apakah aktiviti mereka sebenarnya?," katanya dalam satu taklimat bersama media di sini, Rabu.

Zaitun berkata, kebanyakan Pati yang berdaftar dalam Program 6P terdiri daripada sektor perkilangan, pembinaan dan perkhidmatan.

"Perkhidmatan seramai 244,261 orang (18.7 peratus), perkilangan 175,475 orang (13.5 peratus) dan pembinaan 137,795 orang (10.5 peratus)," katanya.

Selain itu, Pati yang bekerja dalam sektor pertanian pula adalah seramai 85,496 orang (6.5 peratus) dan pembantu rumah asing 26,340 orang (2 peratus).

Menurut Zaitun, seramai 316,961 Pati atau 24.3 peratus yang mendaftar dalam Program 6P tidak mempunyai sektor.

Katanya, sama ada terdapat kesilapan semasa mendaftar maka perlu disemak dengan majikan yang memperakui Pati tersebut sebagai pekerja mengenai sektor berkaitan.

"Jika tiada majikan, maklumat Pati itu dijadikan maklumat 'pool' di mana majikan yang masih belum mempunyai pekerja mencukupi boleh memohon.

"Jika kedua-dua usaha ini tidak berjaya, Pati perlu pulang secara sukarela dengan perbelanjaan sendiri melalui Program Pengampunan," jelas Zaitun.

Seramai 2.3 juta pekerja asing dan Pati telah mendaftar untuk Program 6P setelah berakhirnya proses pendaftaran melalui sistem biometrik pada 31 Ogos lalu.

Jumlah itu meliputi seramai 1,016,908 pekerja asing sah dan seramai 1,303,126 Pati.

Artikel Sebelum

Artikel Lain